Kes-kes Menarik

Datuk antara 9 orang direman berkait projek RM85 juta

KUALA LUMPUR: Sembilan individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung nilai projek berjumlah RM85 juta membabitkan sebuah institut berkaitan automotif di negara ini.


Sumber menyebut, semua suspek berusia antara 34 hingga 58 tahun termasuk seorang wanita, dipercayai ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, petang semalam.


Katanya, semua suspek adalah empat pemilik syarikat dan masing-masing seorang penasihat perubatan, akauntan, pengarah syarikat, ketua eksekutif dan ketua pegawai operasi.


"Dua suspek lelaki yang direman enam hari itu dipercayai meminta dan menerima suapan lebih RM14.9 juta daripada tiga lagi suspek.


"Ia sebagai balasan membantu syarikat mereka mendapat geran menerusi tiga syarikat lain antara 2018 hingga 2020," katanya.


Perintah reman antara tiga hingga enam hari bermula hari ini, dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim ke atas semua suspek di Mahkamah Majistret, Putrajaya, semalam.


Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai, yang dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman itu.


Beliau berkata, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.


Sumber : Berita Harian


Hit : 334