Kes-kes Menarik

Datuk Adly tipu projek JKR didenda RM3 juta

SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang ditahan berhubung sindiket kartel penipuan projek-projek kerajaan didenda RM3 juta oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan pilihan memalsukan dokumen dengan tujuan menipu dua projek Jabatan Kerja Raya (JKR).

Hakim Rozilah Salleh menjatuhi hukuman itu terhadap Datuk Adly Kamarudin, 48, yang membuat pengakuan bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Hukuman itu selepas mengambil kira pertimbangan terhadap 59 pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Acara Jenayah.

Sebelum ini, Adly menghadapi 69 pertuduhan, namun Jabatan Peguam Negara bersetuju dengan representasi dikemukakan dan tertuduh ditawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Mahkamah turut memerintahkan pelucutan hak bernilai RM 5,014,633.24 di bawah Seksyen 45(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berdasarkan kesemua pertuduhan pilihan, Adly dituduh dengan curangnya menggunakan dokumen Surat Setuju Terima (SST) dan Borang A Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang palsu bagi membolehkan Lambaian Fajar Sdn. Bhd. dan KSB Global Sdn. Bhd. iaitu syarikat di bawah kendalian tertuduh telah dipilih kerana kelayakan serta pengalaman bagi melaksanakan dua projek di JKR.

Kesalahan tersebut dilakukan pada Jun 2019 hingga September 2020 di sebuah rumah banglo di Bandar Baru Bangi dekat sini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya,

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noralis Mat, Kalaivani Annadorai dan Mohd. Halimi Mustafa.

Tertuduh pula diwakili Peguam Md. Yunos Shariff dan Shukri Mansor.

Kosmo! pada 2 September tahun lalu melaporkan Adly yang ditahan berhubung sindiket kartel penipuan projek-projek kerajaan berdepan hukuman penjara sehingga 483 tahun selepas didakwa atas 69 pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini.

Pada 7 April tahun lalu, Kosmo! turut melaporkan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk hanya mengambil tujuh tahun untuk mengumpul kekayaan menerusi penglibatannya sebagai kartel projek kerajaan bernilai RM3.8 bilion.

Kemewahan yang dimiliki terbongkar selepas SPRM menahan lelaki itu pada 4 April lalu dan merampas serta menyita pelbagai aset seperti wang tunai RM3.5 juta, kenderaan mewah, kapal layar dan helikopter persendirian.

Turut disita unit hartanah berupa banglo, rumah kedai dan pejabat bernilai RM29 juta.

Sumber : KOSMO! ONLINE


Hit : 341