Berita Menarik

Dua penolong pegawai ILP didakwa buat tuntutan palsu

JOHOR BAHRU: Dua penjawat awam daripada Institut Latihan Perindustrian (ILP) Tangkak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini kerana membuat tuntutan palsu berjumlah RM7,200 pada 2016.

Tertuduh, bekas Penolong Pegawai Tadbir, Hafizah Ab. Talib, 44, dan Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Azarudin Asrap, 43, tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Hafizah yang kini bertugas di Kementerian Pertahanan memperdayakan prinsipalnya, ILP Tangkak suatu dokumen kertas kerja dan sebut harga yang mengandungi butiran palsu.

Hafizah didakwa menggunakan kertas kerja dan sebut harga untuk pembayaran perkhidmatan kursus atas nama Jati Selatan Services & Trading berjumlah RM7,200 sedangkan perkhidmatan kursus tersebut tidak dilaksanakan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di ILP Tangkak di KM 43, Jalan Segamat, Tangkak pada bulan November sehingga Disember 2016.

Bagi pertuduhan itu, wanita tersebut didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.

Sementara itu, Azarudin pula dituduh bersubahat dengan Hafizah bagi kesalahan sama dan didakwa di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 18 Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.

Mengikut pendakwaan itu, kedua-dua tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Ikhwan Ihsan Jalaludin manakala Hafizah diwakili peguam MJ Pereira dan Azarudin tidak diwakili peguam. Ikhwan Ihsan memohon mahkamah agar menetapkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, MJ Pereira memohon hakim mempertimbangkan mengurangkan wang jaminan memandangkan tertuduh mempunyai lima anak berusia empat hingga 17 tahun.

Sementara itu, Azarudin dalam rayuannya turut memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan mempunyai tiga orang anak yang berusia antara tiga hingga sembilan tahun. Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin sementara pasport mereka diserahkan kepada mahkamah buat kedua-dua suspek.

Mahkamah tetapkan sebutan semula kes pada 19 April ini untuk serahan dokumen dan memberi ruang bagi Azarudin untuk melantik peguam. – UTUSAN


Hit : 1773