Kes-kes Menarik

Ketua Balai Bomba Peramu Pekan dipenjara, didenda

KUANTAN - Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu di Pekan dihukum penjara 180 bulan dan denda RM194,062.10 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu selepas didapati bersalah atas 10 pertuduhan memberi kontrak pembekalan makanan bernilai RM36,279.69 kepada syarikat milik isterinya.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara serentak dan ini bermakna tertuduh Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 57, akan menjalani hukuman penjara selama 18 bulan bermula tarikh sabitan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara lima tahun, jika gagal Sheikh Hassan membayar denda.

Bapa kepada tiga anak itu didapati bersalah menggunakan kedudukannya mencadangkan syarikat Puncak Cahaya Azam Enterprise, milik isterinya bagi pembelian dan penyediaan makanan untuk pelbagai program serta operasi melibatkan anggota bomba di balai tempat dia berkhidmat.

Kesalahan itu dilakukan olehnya antara Mac 2014 dan 3 Ogos 2015 dengan setiap satu kontrak bernilai RM1,075 hingga RM7,500.

Antara kontrak itu penyediaan makanan untuk anggota bomba yang terlibat dengan operasi pembinaan semula rumah terbakar, operasi memadam kebakaran hutan dan bencana banjir.

Tertuduh yang beralamat di Jalan Kampung Jawa di Kuantan didapati bersalah mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum menerusi Seksyen 24 akta sama, iaitu boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zamzani berkata, keputusan sabitan dan hukuman dibuat selepas menilai keterangan 18 saksi pendakwaan dan tiga saksi mewakili pembelaan, bukti-bukti serta hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak.

Pada prosiding itu, Ahmad Zamzani turut membenarkan permohonan peguam G Ravishankar yang mewakili Sheikh Hassan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di mahkamah tinggi.

"Rayuan ini perlu difailkan dalam tempoh 14 hari oleh tertuduh dan jaminan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000," tegasnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Sarah Zainal Abiddin dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

Sumber : Utusan

Hit : 322