Berita Terkini

SPRM Anjur Mesyuarat Ke-8 ECAN Secara Maya

PUTRAJAYA, 16 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menganjurkan Mesyuarat Tahunan Ke-8 Economic Crime Agencies Network (ECAN) 2022 secara maya di sini, hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung selama dua hari pada 16 dan 17 Mac 2022 ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, teknik menjalankan siasatan dalam isu melibatkan kesalahan rasuah dan trend modus operandi pelaku rasuah perlu dilaksanakan mengikuti perkembangan semasa, khususnya bagi kes-kes yang berkaitan dengan jenayah ekonomi. Jesteru, pendekatan konvensional tidak sesuai digunakan lagi yang mana perancangan baharu perlu dirangka bagi berdepan dengan cabaran masa akan datang.

“Adalah penting bagi setiap anggota ECAN untuk mengadakan perbincangan dan berkongsi pengalaman secara berterusan supaya risiko dan ancaman berkaitan jenayah ekonomi dapat dikesan.

“Tambahan pula, sektor ekonomi dan sempadan akan dibuka secara beransur-ansur yang mana aktiviti jenayah di sempadan dipercayai akan meningkat sehingga mendatangkan risiko berlakunya kegiatan rasuah, justeru, kerjasama antara semua pihak amat diperlukan bagi mengatasi isu berkenaan,” jelasnya.

Tambah beliau, teknik menjalankan siasatan dalam isu melibatkan kesalahan rasuah dan trend modus operandi pelaku rasuah perlu dilaksanakan mengikuti perkembangan masa, khususnya bagi kes-kes yang berkaitan dengan jenayah ekonomi.

Beliau yang mewakili Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Azam Baki berkata demikian semasa merasmikan pembukaan mesyuarat tersebut.

Dalam mesyuarat tersebut juga, Dato' Sri Ahmad Khusairi turut berkongsi mengenai pendekatan holistik yang digunakan SPRM dalam memerangi jenayah rasuah, antaranya penguatkuasaan melalui pengesanan, penyiasatan dan pendakwaan kes serta pencegahan rasuah dan pendidikan masyarakat selain menggunakan pendekatan Siasatan Berasaskan Risikan (IBI) dalam pengumpulan maklumat dan bukti.

Bertemakan 'Jenayah Ekonomi: Membahayakan Keselamatan Negara', mesyuarat yang disertai 10 buah negara tersebut merupakan platform untuk anggotanya berkongsi pengalaman serta menjana idea baharu dan merangka strategi dalam usaha memerangi jenayah ekonomi yang mengancam keselamatan negara.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, TPj Mohd Hafaz Nazar.


Hit : 1684