Berita Menarik

Bekas Pengarah JPDS didakwa terima suapan RM1.29 juta

Kota Kinabalu: Bekas pengarah sebuah jabatan kerajaan negeri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini atas 29 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.29 juta daripada dua syarikat pada 2017 dan 2018.

Tertuduh, Abel Ongkunik, 50, yang pada masa itu adalah Pengarah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima rasuah berjumlah RM1,290,706.19 daripada Syarikat Alaf Kembara Sdn Bhd dan Syarikat Easport Sdn Bhd sebagai dorongan untuk memilih kedua-dua syarikat berkenaan bagi kerja perkhidmatan penundaan kapal di pelabuhan.

Tertuduh yang kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah di Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Sementara itu, hakim menetapkan jaminan RM100,000 dengan wang pendahuluan sebanyak RM30,000, manakala pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 29 April depan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Nartiah F Mirchelle Sambatan manakala tertuduh diwakili peguam Tetuan PJ Perira & Dasan.

Sumber : Harian Metro

Hit : 1897