Berita Menarik

COO didakwa miliki tanah bernilai RM580,000 hasil aktiviti haram

KOTA BHARU - Selepas empat hari didakwa atas 81 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit membabitkan sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), seorang Ketua Pegawai Operasi (COO) didakwa pula atas lima pertuduhan memiliki lima bidang tanah bernilai RM580,000 hasil kegiatan haram di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Tertuduh, Muhammad Semail, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sebidang tanah bernilai RM60,000 di Kampung Gong Kulim di Pasir Puteh hasil aktiviti haram pada 19 Mac 2017.

Kedua, tertuduh didakwa memiliki sebidang tanah berkeluasan 0.4 hektar bernilai RM80,000 di Kampung Kuala Rekan, Mukim Repek, Bachok hasil aktiviti haram pada 23 Mac 2015.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki sebidang tanah berkeluasan 0.3 hektar bernilai RM270,000 di Tiang Layar, Mukim Repek, Bachok, hasil aktiviti haram pada 12 September 2020.

Tuduhan keempat pula, dia didakwa memiliki sebidang tanah berkeluasan 0.39 hektar bernilai RM70,000 di Tiang Layar, Mukim Repek, Bachok, hasil aktiviti haram pada 29 April 2019.

Bagi tuduhan kelima, tertuduh didakwa memiliki sebidang tanah berkeluasan 0.72 hektar bernilai RM100,000 di Kampung Alor Pulai, Mukim Rusa, Bachok, hasil daripada aktiviti haram pada 18 April 2017.

Kesalahan-kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh serta Bachok.

Di mahkamah sama, rakannya iaitu seorang bekas Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia, Abu Yazid Mohd, 38, yang juga pengarah sebuah syarikat mengaku tidak bersalah memiliki wang tunai hasil aktiviti haram berjumlah RM269,484.35 di dalam akaunnya di sebuah bank di Jalan Maju, di sini, pada 1 Julai 2021.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nik Hasline Hashim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Shukri Ahmad Mansor.

Pada kedua-dua prosiding itu, Zaman membenarkan permohonan Nik Hasline bagi memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Jenayah Sembilan Kuala Lumpur agar prosiding kes berkenaan dapat berjalan bersama pertuduhan yang dihadapi mereka sebelum ini.

Mahkamah turut memutuskan untuk mengguna pakai syarat yang ditetapkan dan jaminan berjumlah RM250,000 yang dibayar tertuduh-tertuduh dalam kes di Kuala Lumpur sebelum ini.

Kes sebutan semula ditetapkan 20 April depan di Kuala Lumpur.

Pada 10 Mac lalu akhbar melaporkan, lima ahli perniagaan termasuk seorang bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 81 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit yang ada kaitan dengan sindiket pengeluaran PLKS.

Sumber : Sinar Harian

Hit : 1435