Kolumnis@SPRM

Cabaran melahirkan generasi kalis rasuah

Oleh

Noor Mohamad Shakil Hameed

Pentadbir Universiti dan Penganalisis Isu Semasa

Kita perlu terima kenyataan bahawa gejala rasuah semakin serius di negara ini dan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh untuk membanterasnya dari peringkat akar umbi. Oleh yang demikian, pendidikan dan ilmu pengetahuan wajar diangkat sebagai senjata penting yang boleh menangani masalah rasuah dalam kalangan anggota masyarakat kita.

Ironinya, walaupun tangkapan demi tangkapan dibuat serta pelbagai hukuman berat dikenakan terhadap individu yang terbabit dengan rasuah, namun sehingga kini kita masih gagal untuk menoktahkan gejala tidak bermoral ini daripada terus berleluasa. Jelas sekali mereka yang terlibat tidak gentar, malah terus memanipulasi situasi untuk kepentingan dan agenda peribadi.

Tidak keterlaluan dikatakan rasuah semakin menjadi satu kelaziman dalam kehidupan sebahagian anggota masyarakat yang sudah tidak takut mahupun malu untuk memberi mahupun menerima suapan. Sudahnya, umpama sudah menjadi endemik, kita dipaksa hidup dengannya, sama ada dengan cara bersekongkol dengan pelaku mahupun tanpa kerelaan.

Jadi, di samping usaha penguatkuasaan terus dirancakkan, sudah tiba masanya untuk memberi perhatian serius terhadap aspek pencegahan, iaitu perlu ada perancangan strategik dalam memupuk sentimen membenci rasuah dalam kalangan anak-anak bermula sejak dari kecil melalui pendidikan baik formal mahupun tidak formal.

Ringkasnya, kita perlu fokus untuk melahirkan generasi masa hadapan yang boleh menjadi warganegara bertanggungjawab, berani menolak rasuah dan memiliki jati diri dan integriti yang tinggi. Usaha menerapkan nilai-nilai positif ke dalam sanubari anak perlu dimulakan dari rumah.

Dalam konteks ini, ibu bapa perlu memainkan peranan yang lebih serius melalui pendidikan secara tidak formal dan santai sekali gus membentuk watak dan karakter anak yang kalis rasuah sejak kecil. Harus diingat ibu bapa adalah idola pertama anak-anak lantas gerak-geri dan tingkah laku ibu bapa mudah mempengaruhi sikap dan membentuk karakter anak hingga akhir hayat mereka.

Justeru, di samping ibu bapa menolak rasuah, pastikan anak-anak juga dididik untuk katakan tidak kepada rasuah sejak kecil. Ajarlah mereka secara santai dan beri mereka memahami apa itu rasuah, terangkan contoh amalan rasuah serta kesannya kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ringkasnya, ibu bapa perlu kreatif dalam menerangkan keburukan rasuah kepada anak.

Peringkat berikutnya adalah melalui pendidikan secara formal di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang perlu diteruskan dengan pelbagai lagi inisiatif untuk terus memperkasa budaya menolak rasuah dalam kalangan generasi muda. Sekolah rendah misalnya adalah platform penting untuk mendidik anak-anak yang baru mula menguasai kemahiran mengenal huruf, mengeja, menulis dan membaca supaya lebih memahami natijah dan kesan buruk najis rasuah. Pada peringkat ini, kita berharap guru dapat membina dan menerapkan daya tahan yang tinggi dalam diri anak-anak supaya ada keberanian dan kemampuan untuk menolak dan membenci rasuah.

Di peringkat pengajian lebih tinggi seperti IPT pula keperluan pendidikan kesedaran sangat mustahak kerana golongan belia akan memasuki alam pekerjaan tidak lama selepas itu. Sebagai destinasi perhentian terakhir sebelum ke alam pekerjaan, pihak IPT perlu memikul tanggungjawab untuk melahirkan generasi warganegara dan bakal pekerja yang memiliki semua ciri-ciri tingkah laku dan budi bahasa yang positif dan terpuji.

Selain itu, inisiatif berterusan daripada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sentiasa memperkasakan aspek pendidikan antirasuah sebagai langkah pencegahan dan melahirkan anggota masyarakat yang cakna impak negatif rasuah wajar disokong semua pihak.

Memandangkan pendidikan boleh dijadikan senjata ampuh untuk memerangi rasuah, maka anggota masyarakat perlu menyokong usaha SPRM mendidik orang ramai menentang rasuah. Kita berharap inisiatif menyampaikan maklumat antirasuah secara berterusan kepada setiap lapisan masyarakat, seterusnya meningkatkan kesedaran dan keyakinan masyarakat terhadap usaha pencegahan rasuah di Malaysia boleh membuahkan hasil dalam jangka masa panjang.

Pada masa sama, badan bukan kerajaan (NGO) yang berorientasikan matlamat mencegah dan membanteras rasuah juga diharap dapat terus berganding bahu dengan SPRM untuk menggiatkan lagi aktiviti pendidikan kesedaran dalam kalangan anggota masyarakat.

Ironinya, kita tidak boleh mengharapkan hasil terlalu drastik dalam jangka masa pendek jika mahu membanteras rasuah melalui pendekatan pendidikan dan kesedaran. Ia perlu bermula dengan usaha menyemai nilai integriti dan budaya menolak rasuah dalam diri setiap anggota masyarakat, khususnya perlu dimulakan sejak dari kecil agar menjadi amalan dan budaya yang berterusan.

Oleh itu, walaupun statistik kes rasuah terus membimbangkan, baik SPRM, NGO mahupun anggota masyarakat yang cakna dan memandang serius isu rasuah serta defisit integriti di negara ini tidak boleh berputus asa dalam mendidik masyarakat membenci rasuah.

Jujurnya jika kita mahu melahirkan anggota masyarakat yang mempunyai integriti yang tinggi serta negara bebas rasuah ia perlu dimulakan dengan sistem pendidikan baik formal mahupun tidak formal yang mampu membentuk karakter individu supaya menolak rasuah.

Pendidikan perlu dijadikan senjata ampuh untuk mencapai impian melahirkan warganegara yang kalis rasuah sekali gus menyelamatkan rakyat dan negara dari najis rasuah.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 2316