Kes-kes Menarik

Diploma palsu, bekas juruteknik didenda RM7,000

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas juruteknik didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menggunakan sijil diploma palsu bagi mendapatkan lesen Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK), tiga tahun lalu.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman itu selepas Muhamad Muslim Mamat, 30, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Dazuki turut memerintahkan lelaki itu dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Muhamad Muslim didakwa menggunakan dokumen sijil Diploma Rekabentuk Dalaman palsu di atas nama adiknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 26 Disember 2019 bagi tujuan untuk menipu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman mengikut Seksyen 465 kanun sama.

Sumber : Utusan Online


Hit : 268