Berita Menarik

Kes rasuah syarikat penghantaran, dua lagi direman hari ini

Putrajaya: Dua individu direman bermula hari ini sehingga 15 Mac bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan syarikat penghantaran.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim terhadap suspek yang masing-masing berusia 54 dan 47 tahun selepas Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Zaharah Alias mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang masing-masing penolong pengurus operasi dan bekas pengurus bahagian kontrak di sebuah syarikat penghantaran ditahan di Ibu Pejabat SPRM jam 4.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan.

Sumber memberitahu, kedua-duanya disyaki menerima rasuah daripada syarikat penghantaran antara 2019 hingga 2021 sebagai balasan membantu mendapatkan kerja penyediaan perkhidmatan pengangkutan syarikat terbabit, membabitkan nilai projek kira-kira RM29 juta.

Katanya, kegiatan itu dipercayai dilakukan bersama seorang lagi suspek berusia 43 tahun yang ditahan reman SPRM selama enam hari pada 8 Mac lalu.

Menurutnya, suspek disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Sumber : Harian Metro


Hit : 1626