Berita Menarik

Penjual sate, kakitangan JPJ dipenjara, palsukan pendaftaran kenderaan

Alor Setar: Seorang penjual sate dan seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Kulim hari ini masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah memalsukan dokumen untuk mendaftarkan empat kenderaan pada Februari dan Jun 2016.

Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dengan pihak pendakwaan dapat membuktikan kes terhadap empat pertuduhan yang masing-masing dihadapi kedua-dua tertuduh.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing tiga tahun terhadap Nurul Hanim Abu Bakar, 37, yang digantung tugas selepas dituduh di mahkamah pada Mac 2017 dan penjual sate Nik Hazrihairi Nik Kasim, 39, bagi setiap pertuduhan itu dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal membayar denda itu, boleh dipenjara lapan bulan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara itu secara serentak mulai tarikh hukuman dijatuhkan hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, peniaga sate itu dituduh memberi kepada seorang ejen kerajaan Malaysia iaitu Nurul Hanim yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir Perkeranian/Operasi di Unit Hasil JPJ Cawangan Kulim ketika itu dengan niat memperdayakan prinsipal ejen itu, dokumen berkenaan dengannya yang prinsipal itu mempunyai kepentingan pada 16 Februari 2016 di JPJ cawangan sama.

Nik Hazrihairi didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen-dokumen itu adalah butiran palsu bagi mewujudkan pendaftaran kenderaan jenis Mitsubishi Grandis 2.4(A) dengan nombor pendaftaran KED751 ke dalam pangkalan data MySikap JPJ dengan status lucut hak Kastam.

Tiga lagi pertuduhan berikutnya dia dituduh melakukan perbuatan sama terhadap kenderaan jenis Toyota Estima Aeras 2.4(A) nombor pendaftaran WC6102W, Toyota Wish 1.8L(A) nombor pendaftaran BNV3409 dan Toyota Previa 2.4L(A) nombor pendaftaran WD1384A masing-masing pada 1, 21 dan 30 Jun 2016 di JPJ cawangan sama.

Sementara itu, Nurul Hanim juga menghadapi empat pertuduhan iaitu pada 16 Februari 2016 serta 1, 21 dan 30 Jun 2016 di JPJ cawangan itu.

Nurul Hanim dituduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen berkenaan mengandungi butiran palsu untuk mengelirukan prinsipalnya apabila dia mewujudkan pendaftaran kenderaan itu ke dalam pangkalan data MySikap JPJ dengan status lucut hak Kastam.

Sehubungan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak melebihi tempoh 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal kesalahan itu sekiranya suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Sementara menunggu proses rayuan ke Mahkamah Tinggi, mahkamah membenarkan hukuman penjara itu ditangguhkan dengan kedua-dua tertuduh masing-masing dibenar diikat jamin RM12,000 manakala denda RM40,000 itu perlu mereka bayar.

Selain itu, mahkamah memberikan syarat tambahan iaitu kedua-dua mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap 1 hari bulan, bermula April depan dan jika gagal berbuat demikian jaminan itu boleh dibatalkan oleh mahkamah.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tan Sew Ping manakala Nik Hazrihairi diwakili Peguam R Khirtigha dan Nurul Hanim diwakili Peguam CP Ang.

Sumber : Harian Metro

Hit : 1521