Berita Menarik

Datuk Addy Kana didenda RM10,000

Shah Alam: Zaidi Kanapiah atau dikenali Datuk Addy Kana didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan tidak melaporkan permintaan suapan kepada pihak berkuasa, tiga tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhi Hakim Rozilah Salleh selepas tertuduh Zaidi, 38,mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa tidak melaporkan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis suatu permintaan suapan wang tunai di sebuah hotel di Puchong, Selangor, pada Julai 2019.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(3) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25(4) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang bekerja dengan ahli perniagaan berunsur aktiviti tidak bermoral dan perjudian berjumpa pegawai penguat kuasa di hotel berkenaan pada Julai 2019.

Dalam pertemuan itu, pegawai meminta suapan wang tunai RM110,000 sebulan bagi tujuan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas majikannya dan sehingga kini tertuduh tidak melaporkan permintaan itu kepada mana-mana pegawai SPRM atau polis.

Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab yang mengendalikan kes memohon hukuman denda maksimum untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Peguam Effa Azuin Aidrul Hisham yang mewakili tertuduh merayu supaya hukuman denda sahaja dikenakan kerana isteri tertuduh dalam pantang selepas melahirkan anak kelima.

Tambahnya lagi, tertuduh juga perlu menjaga bapa berusia 74 tahun selain pengakuan salahnya itu juga menjimatkan masa mahkamah.
Selepas mengambil kira pengakuan salah tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan serta rayuan peguam, Hakim Rozilah menjatuhkan hukuman denda maksimum RM10,000 terhadap tertuduh.

Rozilah ketika menjatuhkan hukuman berkata, tindakan tidak melapor permintaan suapan adalah kesalahan serius dan sekiranya dilaporkan ia dapat mengekang jenayah berkenaan berleluasa.

"Kalau ada orang minta suapan, kamu kena laporkan… Tapi disebabkan kamu mengaku bersalah, maka mahkamah pertimbangkan tiada hukuman penjara. Saya ucapkan terima kasih kerana mengaku salah," katanya.

Difahamkan, SPRM kini dalam proses permohonan melucutkan aset tertuduh bernilai RM1 juta.

Sumber 

Hit : 1778