Berita Menarik

Inspektor polis lindung, miliki premis lombong bitcoin

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang disyaki terbabit dengan aktiviti perlombongan bitcoin awal pagi tadi.

Pegawai berusia 34 tahun bertugas di Perak itu ditahan hasil soal siasat dilakukan ke atas salah seorang taikun yang mengawal 500 premis perlombongan bitcoin di seluruh negara.

Menurut sumber, beliau ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki melindungi pusat-pusat perlombongan bitcoin dengan bayaran RM12,000 sebulan di Perak.

"Difahamkan pegawai terbabit juga disyaki memiliki sebuah pusat perlombongan bitcoin yang mencuri elektrik.

"Pegawai terbabit dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah 1, Ipoh, Perak bagi permohonan reman selama lima hari bermula hari ini hingga 7 Mac nanti mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah," katanya.

Menurutnya, pada masa sama, hasil soal siasat dilakukan juga mendedahkan bahawa wujud kegiatan pemilikan pusat-pusat perlombongan bitcoin dalam kalangan pegawai tinggi agensi penguatkuasa, namun ia dijalankan oleh ahli sindiket bagi pihak pegawai terbabit.

"Siasatan masih berjalan dan beberapa pihak yang terbabit sedang dikenal pasti. SPRM tidak menolak kemungkinan bahawa akan ada lagi tangkapan berhubung perkara itu.

"Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 17 akta sama," katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam sidang medianya semalam mendedahkan menahan 18 individu yang dipercayai ahli sindiket perlombongan bitcoin.

Mereka memberi wang suapan sehingga RM300,000 sejak 2018 kepada kakitangan TNB bagi melombong bitcoin dengan melakukan penyambungan bekalan elektrik secara haram.

Kegiatan itu menyebabkan kerugian RM2.3 bilion sejak 2018.

Sumber : Harian Metro


Hit : 2010