Berita Menarik

Lebih 20 premis melombong bitcoin haram kena serbu

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara terhadap sindiket melombong mata wang kripto atau bitcoin yang mencuri elektrik, hari ini.

Selain di ibu negara, operasi turut dilaksanakan secara serentak di Melaka, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Selangor.

Sumber memaklumkan, lebih 20 premis dijadikan lubuk melombong bitcoin yang beroperasi menggunakan sambungan elektrik secara haram diserbu, siang tadi.

Operasi besar-besaran itu dilancarkan dalam membanteras kegiatan curi elektrik oleh sindiket melombong bitcoin yang semakin berleluasa sehingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada TNB.

Dalam beberapa kes, sindiket berkenaan dikatakan cuba menawarkan sogokan dalam bentuk bitcoin untuk melindungi kegiatan mereka.

Dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Puchong Mesra 1 di ibu negara, pasukan serbuan berhadapan kesukaran untuk memasuki sebuah bangunan dua tingkat apabila mengambil masa kira-kira sejam untuk memecahkan pintu besi di bahagian bawah premis.

Sebaik berjaya, mereka berhadapan kesukaran kedua apabila gagal membuka pintu di tingkat dua.

Selepas lebih sejam berusaha, mereka akhirnya terpaksa meminta bantuan pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil dan menggunakan mesin pemotong besi berkuasa tinggi, sebelum dua lagi lapisan pintu di situ dapat dibuka.

Hasil pemeriksaan dalam enam bilik di situ, satu daripadanya terdapat 27 mesin melombong bitcoin ditemui sedang berfungsi.

Dalam bilik selebihnya, didapati sedang diubah suai dipercayai untuk menempatkan mesin-mesin bitcoin di situ.

Sumber berkata, menurut bacaan meter oleh petugas TNB, dianggarkan premis ini menggunakan lebih 24,000 kilowatt dengan anggaran kerugian TNB mencecah RM12,000 sebulan.

"Premis ini pernah diserbu pihak berkuasa tiga bulan lalu dan ketika serbuan hari ini, premis idak berpenghuni.

"Kita percaya pekerja premis ini hanya datang pada waktu malam, dua hari sekali untuk memeriksa keadaan mesin bitcoin di sini," katanya.

Difahamkan, satu sidang media oleh Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki akan diadakan di Putrajaya berhubung operasi berkenaan, esok.

Sumber : Harian Metro

Hit : 1386