Kes-kes Menarik

Penolong Pegawai AADK didakwa guna jawatan cadang syarikat milik sendiri, adik

SHAH ALAM – Seorang penolong pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Sepang didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan projek untuk syarikat dirinya dan adiknya di antara 2016 dan 2017.

Tertuduh, CT Ashlida Che Mat Razali, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan rasuah dengan mencadangkan nama syarikat Muqriz Jaya Enterprise, yang dimilikinya bagi pembekalan perkhidmatan Program Institusi Pendidikan Bebas Dadah berharga RM5,160 melalui permohonan pesanan tempatan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mac hingga April 2016.

CT Ashlida juga didakwa menggunakan jawatannya bagi mencadangkan nama syarikat New Sapphire Enterprise yang dimiliki adik kandungnya bagi perkhidmatan makan, cenderahati dan banner dengan harga RM1,000 melalui permohonan pesanan tempatan antara Februari hingga April 2017.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertudunan selain syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Peguam Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah.

Jaminan ditetapkan RM4,000 oleh mahkamah bagi setiap pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwa.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 5 April depan.

Sumber : KOSMO! ONLINE.


Hit : 236