Berita Menarik

Dirasuah RM630,000 tutup kes pekerja Bangladesh mati

SHAH ALAM: Seorang pemilik syarikat kawalan keselamatan mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM630,000 sebagai dorongan membantu menutup kes kematian seorang pekerja Bangladesh akibat Covid-19, tahun lalu.

Tertuduh, C. Mahenthiran, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Berdasarkan pertuduhan, pemilik syarikat MNAT Suria Enterprise itu didakwa secara rasuah menerima suapan wang semuanya RM630,000 secara pindahan wang atas talian daripada Wong Huey Tsyr atas nama syarikat Perfect Tube Ice Sdn. Bhd. kepada akaun Affin Bank Syarikat MNAT Suria Enterprise sebagai dorongan untuk membantu Huey Tsyr daripada dikenakan tindakan dan menutup kes kematian pekerja warga asing akibat Covid-19.

Upah cari kubur

Wang itu juga upah untuk mencari dan membeli tanah kubur serta pampasan kepada Steven Albert kerana ditahan polis atas siasatan kes kematian warga asing tersebut.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Affin Bank Cawangan Rawang antara 4 Ogos 2021 hingga 10 September 2021.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bapa kepada dua cahaya mata itu turut didakwa atas lapan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Fadhli Ab. Wahab mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Peguam bela, Bernard Francis bagaimanapun memohon jaminan lebih rendah memandangkan isteri tertuduh sedang mendapatkan rawatan mental dengan kos rawatan RM2,000 sebulan.

“Tertuduh merupakan pemilik MNAT Suria Enterprise bagi perkhidmatan kawalan keselamatan sejak 15 tahun lalu di syarikat milik pengadu dan sampai hari ini masih memberikan perkhidmatan kepada pengadu.

“Tertuduh kenal pengadu dan mereka berkawan. Tertuduh direman selama lima hari dan pernah mendapatkan rawatan di hospital akibat sakit darah tinggi,” ujarnya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh melapor diri setiap awal bulan di pejabat SPRM Selangor dan passport diserahkan pada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 25 Mac hadapan.

Sumber : UTUSAN


Hit : 1617