Berita Menarik

Padah guna dokumen palsu untuk gaji

Kangar: Bekas pembantu tadbir sekolah menengah agama didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan memalsukan dokumen bagi memperoleh gaji yang lebih tinggi daripada sepatutnya pada 2020.

Nur Suhada Saad, 32, mengangguk faham dan membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Berdasarkan pertuduhan, Nur Suhada menggunakan borang permohonan, surat arahan dan senarai pembayaran gaji bertarikh 17 April, 11 Mei, 18 Jun, 20 Julai dan 21 Ogos 2020 palsu berkenaan jumlah kenaikan pembayaran gaji dengan jumlah keseluruhan RM1,214.75.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di Bank Islam Cawangan Kangar di Kompleks Niaga Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), Jalan Utan Aji dan Jalan PKENPs, Kangar pada 17 April, 13 Mei, 18 Jun, 13 Julai dan 5 Ogos 2020.

Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Ikhwan Mohamad Nasir dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mohamad Ikhwan memohon mahkamah memberikan hukuman denda yang paling minimum kepada anak guamnya memandangkan tertuduh kini tidak mempunyai pekerjaan tetap bagi menyara kehidupannya selepas dibuang kerja akibat perbuatannya itu.

Anak guamnya itu juga walaupun sudah berkahwin terpaksa menjalani kehidupan berumahtangga secara jarak jauh disebabkan suaminya bertugas sebagai penjawat awam di Kuala Lumpur dengan gaji sekitar RM1,200 sebulan.

Tertuduh juga perlu menjaga tiga anaknya yang masih kecil berusia setahun, enam dan sembilan tahun yang masih bersekolah selain tinggal bersama keluarganya di Kangar.

Bagaimanapun pendakwaan memohon mahkamah memberikan satu hukuman setimpal atas kesalahan yang dilakukan memandangkan pemalsuan dokumen adalah satu kesalahan yang serius dan perlu mengambil kira kepentingan awam berbanding peribadi tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 untuk kesemua pertuduhan dan tertuduh membayar denda yang dikemukakan mahkamah itu.

Sumber : Harian Metro

Hit : 2408