Berita Menarik

Pengarah syarikat didakwa 35 tuduhan seleweng dana MITRA

KUALA LUMPUR – Pengarah sebuah syarikat mengaku tidak bersalah terhadap 35 tuduhan berkaitan penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah RM276,625 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Datuk Reghu V. Bhaskaran selaku Pengarah Syarikat QCMDS Eraminda Consultants (M) Sdn Bhd pada 5 Mei 2021 didakwa mengemukakan Laporan Akhir Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia Kementerian Perpaduan Negara Reform Training yang mempunyai butiran palsu.

Berdasarkan pertuduhan, laporan berkenaan bertarikh 30 Disember 2020.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Sekiranya disabit bersalah, Reghu, 62, bakal berhadapan hukuman penjara selama tidak melebihi tempoh 20 tahun bagi setiap kesalahan.

Beliau dalam masa yang sama berhadapan dengan hukuman denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai yang dipalsukan mengikut mana-mana lebih tinggi.

Dalam masa yang sama, Reghu turut dihadapkan dengan 23 pertuduhan pilihan atas kesalahan menggunakan dokumen palsu.

Kesemua pertuduhan pilihan berkenaan didakwa di bawah seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Hakim, Azura Alwi kemudian menetapkan ikat jamin berjumlah RM25,000 bagi semua pertuduhan yang dibayar secara ansuran sebanyak dua kali.

“Saya benarkan ikat jamin dibayar dua kali hari ini perlu dibayar RM10,000 bakinya pada Rabu depan,” katanya kepada mahkamah hari ini.

Reghu turut diarahkan melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan sebutan kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 21 Mac 2022.

Sebagai rekod, SPRM sebelum ini menahan 22 individu dalam operasi di tujuh negeri, berhubung penyelewengan dana MITRA.

Operasi dilakukan di Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

Antara yang ditahan sebelum ini adalah presiden badan bukan kerajaan, pengarah syarikat dan setiausaha persatuan yang terbabit atau diberikan geran MITRA bagi menjayakan program pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India golongan B40.

Sumber : MalaysiaGazette


Hit : 2411