Kolumnis@SPRM

Barah Rasuah: Bersama Selamatkan Malaysia!


Oleh

Noor Mohamad Shakil Hameed

Penulis ialah Pentadbir Universiti dan Penganalisis Isu Semasa


Malaysia merekodkan penurunan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 buat dua tahun berturut-turut apabila jatuh lima anak tangga kepada kedudukan 62 daripada keseluruhan 180 negara. Ini menunjukkan barah rasuah terus membara dan mencengkam kehidupan rakyat, malah boleh dikatakan semakin serius serta menjadi sukar untuk dikawal. Namun, kita tidak boleh mengalah dan putus asa, sebaliknya perlu terus menyusun langkah untuk menggempur rasuah di negara kita.


Menurut Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, pada 2020 Malaysia berada di tangga ke-57 apabila pada tahun lalu negara mencatatkan skor 48, berbanding skor sebanyak 51 peratus pada tahun sebelumnya. Keputusan ini berdasarkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara dengan mengikut skala 0 (paling korup) hingga 100 (paling bersih). Negara pernah menunjukkan peningkatan pada 2019 apabila melonjak ke tangga 51 berbanding 61 dalam CPI sebelum itu.


Jelas sekali, prestasi indeks ini menjejaskan reputasi dan nama baik negara di peringkat global termasuk memberi kesan terhadap sentimen pelaburan dan perniagaan dalam tempoh jangka panjang. Oleh itu kita perlu melipatgandakan usaha untuk membanteras rasuah di semua peringkat lapisan masyarakat. Ingat, membanteras rasuah bukan tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata, sebaliknya semua komponen dalam masyarakat yang perlu pikul bersama-sama.


Dalam konteks ini, kita melihat sudah ada inisiatif positif yang digerakkan oleh kerajaan, antaranya pendekatan bi-partisan melalui memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada September tahun lalu yang merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.


Kita berharap kerajaan dan pembangkang dapat melaksanakan pembaharuan yang dipersetujui sebelum Julai ini kerana transformasi yang diperkenalkan boleh mendorong kepada amalan tadbir urus yang cemerlang dalam sistem pentadbiran negara secara keseluruhannya. 


Misalnya, Rang Undang-Undang (RUU) pembiayaan politik yang dijadualkan dibentang di Parlimen oleh dua kerajaan sebelum ini belum terlaksana dan perlu dijadikan agenda utama kerajaan. Ia penting kerana kegagalan usaha mereformasi isu pendanaan politik boleh menyebabkan politik wang terus berleluasa terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Di samping itu, kita juga berharap kerajaan akan melihat dengan lebih serius isu yang saban tahun dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) terutama yang kerap berulang kerana penurunan skor juga disumbangkan oleh laporan negatif mengenai salah laku dan tadbir urus yang lemah oleh pegawai kerajaan. Selain mengenakan hukuman yang setimpal, inisiatif meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan penjawat awam juga perlu terus diperkasakan. Tindakan yang berkesan dalam hal ini boleh membantu meningkatkan CPI.


Sehubungan itu juga, kita berharap kerajaan akan meletakkan sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang lebih baik yang mahu dicapai dalam CPI tahun hadapan. Belum terlewat untuk kerajaan melakukan transformasi dan reformasi yang diperlukan untuk mendaki ke tangga yang lebih baik dalam CPI akan datang.


Apa yang penting adalah iltizam politik daripada semua parti politik baik kerajaan mahupun pembangkang yang bersedia dan sanggup melakukan perubahan diperlukan secara bersama dengan mengetepikan segala perbezaan ideologi serta kepentingan politik. Jujurnya, semua ahli politik perlu bersatu suara dan tindakan dalam membanteras gejala rasuah di negara kita.


Jadikan kedudukan CPI lebih rendah ini sebagai pemangkin untuk kita perbaiki kelemahan yang ada. Sepatutnya prestasi yang kurang memberangsangkan ini memberi isyarat yang jelas untuk semua pihak membuka mata dan bangkit menyelamatkan negara daripada terus menuju kehancuran akibat rasuah. Sebagai warganegara yang prihatin dan sayangkan negara, adalah menjadi tanggungjawab setiap daripada kita agar tidak lagi terus berdiam diri atau tak peduli dengan masalah rasuah yang sedang menghancurkan rakyat dan negara ini. Dalam konteks ini, integriti sebagai individu dan akauntabiliti sebagai pemimpin perlu terus diperkasakan. Masing-masing ada peranan dalam memikul amanah demi membudayakan amalan integriti dan tadbir urus yang baik dalam setiap tindakan.


Sebagai individu, janganlah kita memulakan rantaian rasuah dengan memberikan sogokan untuk mendapatkan sesuatu kepentingan seperti kontrak kerja di pejabat kerajaan. Percayalah jika kita boleh bertegas dan berpegang kepada prinsip tidak akan berkompromi dan tidak akan memberi rasuah maka tak akan ada ruang untuk orang meminta atau menerima rasuah.


Begitu juga sebagai pemimpin kita perlu memahami tanggungjawab yang diletakkan ke atas bahu kita. Jangan sesekali menggadai amanah, prinsip dan maruah diri dengan meminta atau menerima rasuah. Ringkasnya, jangan khianati harapan dan kepercayaan rakyat kepada institusi kerajaan. Pada masa sama, badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan dengan matlamat membantu mendidik masyarakat dalam soal integriti serta membanteras rasuah juga perlu terus melipatgandakan usaha secara berterusan. 


NGO seperti Malaysia Corruption Watch (MCW) perlu terus bekerjasama rapat dengan SPRM supaya dapat menjalankan fungsi dengan lebih efisien. Antara inisiatif yang boleh dilakukan ialah perlu sentiasa mendekatkan diri dengan anggota masyarakat melalui penganjuran pelbagai aktiviti pencegahan dan kesedaran tentang rasuah dan salah laku terutama mendidik masyarakat untuk tidak memberikan rasuah serta berani tampil ke hadapan untuk melaporkan rasuah.


Rasuah tidak akan berlaku jika tiada elemen penawaran dan permintaan serta disulami amalan integriti dan akauntabiliti yang tinggi oleh seluruh lapisan masyarakat. Usaha menggempur rasuah ini perlu dipikul bersama oleh ahli politik, NGO, penjawat awam dan anggota masyarakat bersama-sama dengan SPRM demi membersihkan negara daripada rasuah.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 1954