Berita Menarik

Tuntutan palsu: Pembantu pegawai khas EXCO Pulau Pinang antara direman

GEORGETOWN: Tiga individu termasuk pembantu pegawai khas EXCO Pulau Pinang direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan satu program penjaja membabitkan nilai suapan lebih RM80,000.

Perintah reman sehingga 12 Februari itu dikeluarkan Majistret R Manomani selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan itu, pagi tadi.

Siasatan terhadap pembantu pegawai khas EXCO berusia 42 tahun itu serta dua lagi individu dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Difahamkan, kesemua individu terbabit termasuk pembantu pegawai khas EXCO dipercayai mengemukakan butiran palsu berkaitan pembekalan peralatan, membabitkan enam syarikat sedangkan program pada 2020 berkenaan tidak dilaksanakan.

Semalam, SPRM Pulau Pinang menahan enam individu dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berkenaan.

Difahamkan, keenam-enam individu termasuk tiga lelaki berusia antara 25 hingga 50 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang.

Bagaimanapun, tiga individu dilepaskan dengan jaminan SPRM dalam tempoh 24 jam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Lim Bee Kean ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sumber : Berita Harian


Hit : 1505