Kes-kes Menarik

Pembantu kedai dobi didakwa perdaya individu RM100,000

SHAH ALAM: Seorang pembantu kedai dobi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang individu bagi mendapatkan projek penggantian saluran paip gas di Terengganu, pada 2018.

Tertuduh, Herisyam Abdul Wahid, 48, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kertas pertuduhan, Herisyam didakwa dengan curangnya mendorong lelaki berusia 41 tahun untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM100,000 dengan mempercayai bahawa dia boleh membantu bagi mendapatkan projek Engineering, Procurement, Construction & Commisioning (EPCC) for PGU-1 Pipeline Replacement in Terengganu Malaysia (Graphite)' dari Petronas Gas Berhad.

Herisyam didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Seksyen 13 Shah Alam pada April 2018.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM30,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim, yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya menanggung isteri yang tidak bekerja dan enam anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU).

Mohd Baharuddin memaklumkan, tertuduh hanya bekerja sebagai pembantu sebuah kedai dobi dengan gaji RM30 sehari dan hanya mampu menyediakan RM6,000 wang jaminan.

Dalam pada itu, pihak pendakwaan turut memohon mahkamah membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama empat lagi pertuduhan yang didakwa pada 20 Januari lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dia perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah turut membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama dengan empat lagi pertuduhan pada 21 Februari ini.


Sumber : Berita Harian

Hit : 212