Kolumnis@SPRM

Kerjasama, Sehaluan, Iltizam Politik Untuk Tingkatkan CPI

TPj Mohd Hafaz Nazar
Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia



Keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang diumumkan baru-baru ini telah menunjukkan penurunan skor dan kedudukan Malaysia berbanding tahun sebelumnya. Secara tidak langsung, keputusan tersebut melahirkan kebimbangan ramai pihak di samping mencari jalan untuk mengatasinya agar dapat menyumbang kepada keputusan yang lebih baik pada masa akan datang.


SOALAN 1 : Bolehkah Tuan jelaskan mengenai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang menunjukkan skor Malaysia telah turun ke 48 markah pada tahun 2021, dari skala 0 (paling korup) hingga 100 (paling bersih), dibandingkan dengan 51 markah pada 2020?


J: CPI merupakan penanda aras utama di peringkat global bagi rasuah sektor awam yang memberikan gambaran tahunan berkaitan tahap rasuah dengan menentukan kedudukan negara di seluruh dunia.

Kajian ini merupakan gabungan beberapa data kajian, indeks komposit dan pelbagai tinjauan yang dilakukan oleh ahli perniagaan di seluruh negara termasuk pakar dan penganalisis tempatan yang bekerja dalam negara yang dinilai.


Sementara itu, Malaysia menggunakan sembilan daripada 13 sumber data sekunder bagi pengiraan CPI 2021 iaitu melibatkan organisasi dan firma antarabangsa seperti Bertelsmann Foundation, Economist Intelligence Unit, International Institute for Management Development (IMD), Political and Economic Risk Consultancy Asian Intelligence, Political Risk Services International, World Justice Project, World Economic Forum, Global Insight Country Risk Rating dan Varieties of Democracy Project (V-Dem).


Antara aspek persepsi yang diukur dalam kajian ini termasuk tahap atau kadar persaingan perniagaan dalam negara, persepsi tahap rasuah oleh para usahawan, kebebasan sistem kehakiman, keprofesionalan perkhidmatan awam, persepsi terhadap ketirisan perolehan, akses kepada maklumat dan tahap demokrasi negara.


Pada masa sama, sembilan (9) sumber pengukuran berlainan yang telah diambil kira, penurunan yang paling signifikan adalah merujuk pada kedudukan World Economic Forum Executive Opinion Survey dan IMD World Competitiveness Center World Competitiveness Yearbook Executive Opinion Survey.


Jika dilihat secara umumnya, kedua-dua sumber kajian ini lebih menumpukan terhadap pelaburan dalam inovasi, aktiviti ekonomi yang pelbagai, polisi umum yang dapat menyokong ekonomi negara, governans, kualiti infrastruktur dan penggunaan teknologi, terutama dalam aspek penyebaran maklumat.


Bagi keputusan yang diumumkan pada 25 Januari lalu, seperti kenyataan media yang telah dikeluarkan SPRM pada hari sama, SPRM memberi perhatian serius terhadap keputusan skor dan kedudukan tersebut kerana ia menunjukkan penurunan berturut-turut sejak 2019.


Secara umumnya, SPRM menyatakan hasrat dan menyeru semua pihak agar bekerjasama, tidak kira diperingkat penjawat awam dan masyarakat, untuk mempunyai pemikiran yang sehaluan dan ditegaskan menerusi iltizam politik (political will), untuk terus berusaha menambahbaik dan memberi sokongan, tidak kira dalam bentuk apa pun cabaran dan halangan yang mendatang, agar perjuangan Suruhanjaya ini dalam memerangi rasuah akan terus terpelihara.

 

SOALAN 2: Apabila keputusan CPI diumumkan setiap tahun, ramai pihak akan tertumpu kepada SPRM untuk menjelaskan keputusan tersebut, ini disebabkan SPRM merupakan agensi tunggal penguatkuasaan antirasuah di negara ini. Apa komen Tuan?


J: Seperti yang telah saya jelaskan, kajian ini melibatkan sembilan perkara yang mana dalam setiap perkara tersebut mempunyai pemegang taruh masing-masing.


Setiap aspek kajian yang dilaksanakan melibatkan beberapa badan dan institusi kerajaan pemegang taruh seperti Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Awam, Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Institut Integiriti Malaysia, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta termasuk badan penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Persaingan.


Selain daripada rasuah, skop yang termasuk dalam pengiraan CPI ini adalah persepsi terhadap penyalahgunaan dana kerajaan, kebolehan negara untuk kuatkuasakan mekanisma integriti, komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah, perlindungan terhadap pendedah maklumat dan buat pertama kali, CPI kali ini juga mengambil kira keberkesanan hak asasi manusia yang tersedia dalam sebuah negara.


Oleh sebab itu, untuk meningkatkan indeks ini selaras dengan sasaran kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu menjadikan negara ini antara 30 negara terbaik di dunia, ia perlukan koordinasi setiap daripada pemegang-pemegang taruh tersebut dan bukan mengharapkan agensi seperti SPRM sahaja untuk memperbaiki indeks.


Malah tidak adil jika mengatakan SPRM tidak bersungguh-sungguh ke arah penambahbaikan ini kerana SPRM sentiasa menyokong dan terlibat dalam usaha-usaha yang dilakukan misalnya dalam tindakan proaktif dalam pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023, pembangunan dan penguatkuasaan liabiliti korporat, Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], khidmat nasihat yang berterusan dalam pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) di perkhidmatan awam, memasukkan elemen pencegahan rasuah di sekolah rendah dan di pusat pengajian tinggi serta membantu dalam usaha-usaha ke arah pembangunan Akta Pembiayaan Dana Politik, penambaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, usaha meningkatkan lagi ketelusan perolehan kerajaan dan pelbagai lagi tindakan yang berterusan, bersama-sama dengan agensi-agensi yang terlibat.


Sehubungan itu, tanpa menuding jari mencari salah mana-mana pihak, atau memberikan pelbagai alasan yang tidak memberi apa-apa manfaat, apa yang lebih penting, adalah memikirkan strategi yang lebih tepat, penambahbaikan kelemahan yang kena pada tempatnya dan pendekatan yang lebih baik untuk meningkatkan kadar indeks persepsi rasuah bagi tahun-tahun hadapan. Suruhanjaya ini tanpa penat dan lelah, akan terus melaksanakan tugas menguatkuasakan undang-undang pencegahan rasuah, berdasarkan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

 

SOALAN 3: Apakah komen Tuan mengenai pandangan Transparency International-Malaysia (TI-M) berkaitan beberapa perkara yang berkemungkinan menjadi penyebab kepada kemerosotan CPI 2021 seperti reformasi institusi (institutional reform) yang terbantut?


J: Dalam perkara yang di bawah bidang kuasa atau hasil siasatan SPRM, Suruhanjaya ini ingin memperjelas dan memperbetulkan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh TI-M.


Misalnya, kes-kes profil tinggi yang berlaku pada tahun 2021 melibatkan Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng serta keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dengan kes SRC tidak diambil kira dalam analisis TI-Malaysia.


Sedangkan kes-kes seumpama ini adalah bukti bahawa agensi penguat kuasa seperti SPRM ini tidak memilih bulu malah mempunyai iltizam untuk menyiasat individu-individu berprofil tinggi. Tidak timbul isu ‘ikan bilis ikan jerung’ seperti yang sering diperkatakan oleh masyarakat.


Malah satu lagi kejayaan besar buat semua pihak ialah apabila SPRM berjaya membawa pulang aset yang berkaitan 1MDB sebanyak RM21 billion setakat tahun 2021.


Harus diingatkan bahawa di peringkat global, kadar kejayaan untuk pemulihan aset pengubahan wang haram ialah 30 peratus. Namun, SPRM telah berjaya mencapai sebanyak 45 peratus dalam pemulihan aset, atau RM21 bilion dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas Antarabangsa (International Task Force) mengenai pemulihan aset dan pendakwaan 1MDB. Ahli-ahli pasukan ini terdiri daripada Malaysia, Amerika Syarikat, Perancis, Singapura, Switzerland dan Luxembourg.

Dalam hal ini, Malaysia telah diiktiraf sebagai negara peneraju dalam pemulihan aset antarabangsa dan dijemput untuk berkongsi pengalaman dan memberi input dalam seminar-seminar yang dianjurkan oleh World Bank, Association of Certified Anti-Money Laundering Specialists (ACAMS) dan International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA).


Dalam pada itu, ada juga dibangkitkan mengenai isu keputusan ‘dilepas tanpa dibebaskan’ (DNAA) oleh mahkamah melibatkan individu berprofil tinggi. Dalam hal ini, kita harus menghormati keputusan Peguam Negara kerana terpulang kepada beliau untuk menjalankan atau sebaliknya.


Malah sebenarnya, bagi kebanyakan kes sudah diperjelaskan oleh Pejabat Peguam Negara yang mana individu-individu terlibat telah dikenakan kompaun.


Harus difahami bahawa tindakan kompaun adalah satu tindakan punitif dan satu bentuk pemulangan aset di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).


Semua ini merupakan antara kejayaan besar kita dalam usaha pencegahan dan pembanterasan rasuah di negara ini yang perlu diambil kira untuk mengubah persepsi masyarakat ke arah yang lebih postif.


Bagi isu transformasi institusi melibatkan isu pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan transformasi SPRM, perkara tersebut adalah peruntukan baharu dan memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dengan sokongan dua pertiga ahli Parlimen bagi membolehkan pindaan itu dilaksanakan. SPRM mengalu-alukan usaha untuk menjamin ketelusan, kebebasan dan keprofesionalan Suruhanjaya.


Usaha telah dimulakan untuk membawa perkara ini untuk dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

SOALAN 4: TI-M juga ada menyatakan mengenai kes-kes berprofil tinggi yang dikatakan tidak dikemaskini kemajuannya kepada umum hingga menimbulkan persepsi negatif?


J: Kes Skandal Air Sabah dan siasatan Kapal Tempur Littoral (LCS) yang dinyatakan tersebut masing-masing merupakan perbicaraan dan siasatan yang masih berjalan. Bagi kes LCS, siasatan terkini telah pun disiarkan oleh media melibatkan tangkapan terhadap beberapa suspek.


Dalam perbicaraan mahupun siasatan sudah pasti perlu diberi ruang dan masa mencukupi kepada yang terlibat demi keadilan semua pihak. Di sebalik itu, dalam Skandal Air Sabah, perkara yang tidak diambil kira ialah bagaimana SPRM memperbaiki kelemahan tadbir urus dengan melakukan pemeriksaan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja berhubung dengan perolehan sebutharga dan kerja-kerja kecemasan di Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).


SPRM bukan sahaja badan yang ‘popular’ dengan tangkapan dan sitaan semata-mata. Hakikatnya, SPRM turut membantu mana-mana golongan, syarikat, jabatan mahu pun agensi dalam memberikan penambahbaikan terhadap sistem perolehan serta pendidikan supaya perlakuan rasuah mampu dihentikan dengan kerjasama semua pihak. Perkara ini penting untuk menutup ruang dan peluang berlalunya rasuah, penyelewengan dan salah laku di masa depan.


Jadi sekiranya, ada pihak yang mendakwa kes seumpama ini berjalan lambat atau terdapat gangguan, mereka kena tampil untuk menunjukkan bukti.

 

SOALAN 5: Dikatakan juga tiada penutupan terhadap dua kes berimpak tinggi kepada negara iaitu kes SRC International Sdn Bhd (SRC) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) turut menjadi punca penurunan CPI kali ini. Apa penjelasan Tuan?


J: Perkara ini merupakan satu fahaman yang tidak tepat kerana kedua- dua kes ini merupakan kes yang mana proses perbicaraan mahkamah berhubung dengannya masih sedang berjalan. Bagi kes 1MDB, kes masih lagi berjalan. Kita juga perlu melihat kepada perkara-perkara lain seperti isu Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan perbicaraan kes ini ditangguhkan beberapa kali.


Bagi kes SRC, umum mengetahui bahawa Mahkamah Rayuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut sehingga rayuan kedua di dengar di peringkat Mahkamah Persekutuan.


Hit : 998