Berita Menarik

Didakwa beri rasuah RM85,000 upah beri maklumat pelanggan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 26 pertuduhan memberi rasuah RM85,000 kepada kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi sebagai upah kerana memberi maklumat pelanggan kepada syarikatnya lapan tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Lim Eng Hoong, 46, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat penyediaan perkhidmatan kandungan komunikasi mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-26 Eng Hong didakwa telah secara rasuah memberikan suapan berjumlah RM85,000 kepada seorang lelaki yang juga kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi melalui akaun bank atas nama seorang wanita.

Jumlah rasuah yang diberikan itu paling rendah adalah RM800 manakala paling tinggi RM10,000.

Wang rasuah itu sebagai upah kepada kakitangan syarikat telekomunikasi tersebut kerana memberikan maklumat aduan pelanggan kepada syarikat milik tertuduh yang mana ia daripada portal sistem perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi tersebut.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan HSBC Amanah Cawangan Wangsa Maju di sini antara 3 Disember 2014 hingga 1 September 2016 yang didakwa mengikut Seksyen 16(b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, hakim Rozina membenarkan Eng Hoong diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan syarat-syarat seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Tarikh 23 Februari ini ditetapkan sebutan semula kes.


Sumber : K! ONLINE


Hit : 1865