Berita Menarik

Empat lelaki kemuka permohonan palsu berjumlah RM13.7 juta direman


SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat lelaki yang didakwa mengemukakan permohonan dan laporan berkala program mengandungi butir matan palsu bagi memperoleh geran daripada sebuah agensi kerajaan berjumlah RM13.7 juta.


Perintah reman  empat hari bermula hari ini dikeluarkan Majistret Nur Faizah Abdul Sani bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM.


Terdahulu kesemua suspek berusia lingkungan 41 hingga 66 tahun tiba di mahkamah kira-kira pukul 10 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.


Sementara itu, menurut sumber, kesemua suspek ditahan SPRM Selangor ketika menghadiri pemeriksaan secara berperingkat mulai pukul 6.45 petang sehingga 11 malam semalam.


“Empat suspek berusia lingkungan 41 hingga 66 tahun telah ditahan reman empat hari sehingga 24 Januari ini.


“Mereka ditahan reman bagi membantu siasatan SPRM Selangor berhubung aduan mengemukakan permohonan dan laporan berkala program yang mengandungi butir matan palsu bagi memperoleh geran daripada sebuah agensi kerajaan sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya. Kejadian didakwa berlaku antara tahun 2019 hingga tahun ini,” katanya. 


Sumber : UTUSAN ONLINE


Hit : 1416