Berita Menarik

Penjaga kedai dobi didakwa menipu kontraktor RM163,000

KUALA LUMPUR: Seorang penjaga kedai dobi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu seorang kontraktor bagi mendapatkan projek penggantian saluran paip gas di Terengganu melibatkan penyerahan wang tunai berjumlah RM163,000.


Herisyam Abdul Wahid, 48, didakwa memperdayakan Mohd. Hafidz Mohd. Ismail sehingga lelaki itu menyerahkan wang tunai di beberapa lokasi berbeza di sekitar ibu negara selama empat bulan berturut-turut bermula Mac 2018.


Tuduhan pertama, bekas kontraktor itu didakwa menipu mangsa bahawa dia boleh membantu mendapatkan projek kejuruteraan, perolehan, kontraktor dan pembinaan (EPCC) untuk penggantian saluran paip gas di Terengganu dari Petronas Gas Berhad.


Perbuatan itu menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai RM8,000 di Restoran Q-Bistro di Jalan Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri di sini pada bulan Mac 2018.


Tuduhan kedua, Herisyam didakwa menipu mangsa berkaitan projek serupa sehingga mangsa menyerahkan wang tunai RM100,000 di tempat letak kereta tingkat B2, Pavillion pada April 2018.


Tuduhan ketiga melibatkan penyerahan wang tunai RM40,000 bertempat di Restoran Papparich, Ayer@8, Presint 8, Putrajaya pada Mei 2018 manakala tuduhan keempat melibatkan penyerahan wang tunai RM15,000 juga di Q-Bistro Bandar Sri Permaisuri pada Jun 2018.


Herisyam didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan setiap awal bulan hingga kes selesai.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh disenaraihitam daripada keluar negara hingga kes dilupuskan dan memintanya mengemukakan akuan bersumpah (SD) kepada mahkamah berkaitan pasportnya yang telah tamat tempoh.


Sebelum itu, tertuduh memaklumkan pasport antarabangsanya yang tamat tempoh, tidak dapat dikesan hingga kini.


Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Selangor, Mohd. Aliff Shaharuzaman memohon jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan dua syarat tambahan.


Bagaimanapun, peguam Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim memaklumkan anak guamnya hanya dapat mengumpul RM12,000 daripada rakan dan adik-beradik bagi menjelaskan jaminan.


Jelas peguam bela, Herisyam sebelum ini merupakan kontraktor kecil-kecilan sebelum berhenti dan kini menyara keluarga sebagai penjaga kedai dobi dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan selain mendapat bantuan daripada adik beradik.


Sehubungan itu, Mohd. Baharuddin memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama kepada pihak SPRM ketika siasatan dan hadir sendiri ke mahkamah selepas dimaklumkan oleh pegawai penyiasat semalam.


Peguam itu turut memaklumkan pihaknya bercadang mengemukakan representasi kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat selepas memperoleh dokumen daripada pihak pendakwaan.


Sumber : Utusan


Hit : 2353