Kolumnis@SPRM

Amal integriti walau tidak dipantau


Oleh

Noor Mohamad Shakil Hameed

Penulis ialah Pentadbir Universiti dan Penganalisis Isu Semasa



Integriti secara mudahnya bermaksud kejujuran. Pada hari ini, nilai integriti dalam kalangan anggota masyarakat boleh dikatakan cukup membimbangkan.


Pelbagai insiden yang sedang berlaku dengan jelas memperlihatkan betapa rapuhnya nilai kejujuran rakyat kita. Kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 palsu oleh doktor misalnya menyerlahkan kerapuhan integriti seorang doktor dan juga pembeli. Walau apa pun alasannya, yang menjual dan membeli sama-sama tidak ada integriti.


Lebih mengecewakan apabila dilaporkan ada jemaah umrah yang tidak jujur sehingga boleh pergi mengerjakan ibadah itu. Ini bukan sahaja meletakkan semua pihak dalam risiko tetapi turut menjejaskan nama baik dan reputasi negara di peringkat antarabangsa. Mana integriti agensi yang menguruskan serta individu jemaah itu sendiri? Apakah matlamat boleh menghalalkan cara?


Hakikatnya, setiap hari kita dapat membaca laporan dalam media massa tentang pelbagai aktiviti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pelbagai individu demi kepentingan peribadi masing-masing.


Baik penjawat awam, pekerja swasta, kontraktor mahupun syarikat korporat, semuanya terpalit dengan masalah defisit integriti yang cukup kritikal dan membimbangkan. Mengemukakan akaun palsu, pecah amanah, membuat tuntutan palsu dan memberi projek kepada kaum keluarga. 


Memberi mahupun menerima rasuah untuk pelaksanaan sesuatu urusan adalah antara aktiviti tidak berintegritidan tidak beretika yang sedang mencengkam masyarakat kita. Jelas sekali masyarakat berada di persimpangan defisit integriti yang cukup serius dan kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan kerana pada akhirnya boleh memusnahkan peradaban dan norma kehidupan rakyat.


Kita perlu sedar, perbuatan dan tingkah laku tidak berintegriti akan meninggalkan kesan buruk jangka pendek dan jangka panjang menyeluruh meliputi aspek ekonomi, politik, sosial, keselamatan, keutuhan dan maruah negara.


Benarlah kata pujangga, integriti boleh diumpamakan seperti mencari semut hitam yang berjalan di atas batu yang sangat hitam pada malam gelap-gelita. Zahirnya memang tidak kelihatan tetapi ia perlu ada dalam jiwa dan raga setiap manusia. Umumnya, integriti ini adalah cerminan sikap, amalan dan tingkah laku individu yang jujur, amanah, ikhlas dan sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang. 


Secara prinsipnya setiap individu boleh dinilai tahap integriti diri berdasarkan sikap dan tingkah laku yang ditonjolkan tanpa dikaitkan dengan latar belakang pekerjaan, keluarga, agama mahupun bangsa. Misalnya, sebagai seorang peniaga adakah kita berniaga dengan jujur seperti tidak menaikkan harga sesuka hati serta tidak menjual barangan kurang berkualiti?

 

UBAH


Maka dalam konteks ini, kita dapat lihat dengan jelas elemen integriti itu ada dalam diri setiap orang dan kitalah yang menentukan sama ada mematuhi nilai-nilai yang sepatutnya atau tidak.


Bezanya, jika penjawat awam diukur bila ada isu rasuah dan penyelewengan, individu pula dinilai jika ada sebarang isu berkaitan timbul dan pada kebanyakan masanya tidak disedari oleh orang lain.


Jadi, dalam setiap tingkah laku ada perkara yang boleh diukur dan dinilai untuk menentukan tahap integriti kita. Tuntasnya, integriti adalah perbuatan betul yang perlu kita amalkan sepanjang masa walaupun tidak dipantau oleh manamana pihak dan tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.


Misalnya, kita perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik walaupun tidak dipantau oleh pihak berkuasa. Hakikatnya, tidak keterlaluan untuk dirumuskan nilai integriti dalam kehidupan seharian masyarakat pada hari ini cukup membimbangkan dan memudaratkan. Rumusan ini berdasarkan pelbagai laporan salah laku yang didedahkan seperti kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang terus meningkat.

Jumlah kes berita palsu dan fitnah terutama dalam media sosial juga semakin meningkat dan membimbangkan. Secara umumnya nilai dan amalan moral rakyat kita juga terus menjadi tanda tanya dan menggusarkan. Walaupun bukan semua rakyat Malaysia bersikap seperti ini, namun penglibatan sekelompok penjawat awam berjawatan tinggi, di samping masyarakat lain memberikan gambaran betapa integriti kita semakin terhakis.


Ringkasnya, kita sedang berhadapan isu integriti yang sangat serius dalam kalangan rakyat. Secara dasarnya, integriti membabitkan soal sikap, tingkah laku dan amalan peribadi seseorang yang tidak boleh diubah dalam sekelip mata dan sukar ditukar oleh orang lain. 


Hanya kita yang mampu mengubah sikap dan tingkah laku diri sendiri. Amalan integriti yang negatif biasanya dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti latar belakang keluarga, rakan sekerja, tahap pendidikan dan kecetekan ilmu agama.


Ironinya, bukan mudah untuk mempertahankan nilai integriti diri kerana kita sering berhadapan pelbagai cabaran, dugaan dan godaan. Misalnya, penjawat awam terdedah kepada sogokan daripada pihak yang ada kepentingan tertentu.


Oleh itu, masyarakat kita perlu melihat isu integriti ini secara serius kerana ia boleh meruntuhkan sistem dan nilai kehidupan kita.Malah, bangsa dan negara juga boleh tergadai dan hancur jika integriti tidak menjadi perisai kehidupan seharian.


Jujurnya, tahap integriti dalam masyarakat kita pada hari ini masih umpama mencari semut hitam yang berjalan di atas batu yang sangat hitam pada malam yang gelap-gelita. Sebelum defisit integriti menjadi barah yang sukar dikawal, hentikanlah budaya matlamat menghalalkan cara dan marilah kita biasakan yang betul dan betulkan yang biasa demi kelestarian nilai integriti dalam masyarakat.


Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 371