Berita Menarik

Wanita penerbit rancangan TV ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang bertugas sebagai penerbit rancangan di sebuah agensi penyiaran, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu lebih RM300,000.

Difahamkan, wanita berusia 40 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur di sini, jam 8 malam tadi.

Suspek sebagai penerbit rancangan sebuah agensi penyiaran dipercayai mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu bagi tiga rancangan dokumentari berjumlah lebih RM300,000.

Tuntutan terbabit dipercayai dibuat pada 2017 dan 2018 sedangkan rancangan berkenaan tidak dilaksanakan. Berikutan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan reman hari ini.

Majistret Nur Farahain Roslan membenarkan suspek direman empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Razaliah Ab Rahman mengesahkan penahanan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009.


Hit : 2294