Kes-kes Menarik

Tiga beranak terlibat salah guna kuasa direman seminggu

JOHOR BAHRU: Seorang bekas pengurus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersama dua anak lelakinya direman tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa melibatkan pemberian projek bernilai lebih RM50,000 kepada dua anaknya terbabit.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim susulan permohonan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek lelaki yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru, di sini pada pukul 8.25 pagi diiringi pegawai agensi itu.

Ketiga-tiga suspek anak beranak tersebut diwakili peguam, Syahrul Syazwan Salehin.

Semalam, akhbar ini melaporkan individu berusia 61 tahun yang tamat tempoh reman sejak 6 Januari lalu berkaitan kes rasuah bernilai kira-kira RM500,000 bagi kontrak perladangan, ditahan semula SPRM.

Penahanan semula suspek itu dilakukan bagi membantu siasatan kes berasingan membabitkan penyalahgunaan kuasa membabitkan pemberian projek kepada dua anaknya bernilai lebih RM50,000.

Dia ditahan di Pejabat SPRM Johor, di sini bersama dua anak lelakinya yang masing-masing berusia 28 dan 34 tahun antara pukul 4 hingga 4.30 petang semalam.


Hit : 382