Berita Terkini

SPRM & ATM Tandatangan Nota Kerjasama

PUTRAJAYA, 7 Jan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini Menandangani Nota Kerjasama bagi menjalin hubungan erat perkongsian kepakaran dalam aspek pencegahan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kerjasama yang terjalin antara SPRM dan ATM telah terikat sejak sekian lama dan hasrat ini dipanjangkan dengan menandatangani Nota Kerjasama Antara SPRM dan ATM.

“Usahasama yang lebih strategik ini merangkumi perkongsian kepakaran dalam aspek pengesanan serta pembanterasan kes-kes jenayah rasuah, penyaluran maklumat yang konsisten, sesi perkongsian bestari seperti latihan berkaitan untuk meningkatkan kemahiran dan kompetensi dalam pencegahan jenayah rasuah. Ini termasuk usaha-usaha peningkatan integriti ke arah meningkatkan kapasiti dan kemampuan bersama dalam membanteras jenayah rasuah.

“Hasil kerjasama ini diharapkan dapat memudahkan lagi proses siasatan SPRM bagi membantu mengesan dokumen-dokumen yang berkaitan seperti yang terkandung di dalam terma nota kerjasama ini,” katanya.

Tambah beliau, dengan adanya platform kerjasama ini ia dapat membantu siasatan SPRM terutamanya keperluan daripada aspek teknikal dan kepakaran yang melibatkan perolehan projek-projek ATM.

Sesi Menandangani Nota Kerjasama ini telah ditandatangani oleh Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Dato’ Hishamuddin Hashim bersama Ketua Provos Marsyal ATM, Brigedier Jeneral Dato' Haji Mislan Anuar serta disaksikan oleh Dato' Sri Ahmad Khusairi dan Ketua Staf Markas ATM, Leftenen Jeneral Datuk Mohd Zakaria Haji Yadi.

Hit : 1752