Berita Menarik

Pengarah kejuruteraan didakwa salah guna kuasa, palsu dokumen

ALOR SETAR: Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menyalah guna kuasa dan serta pemalsuan dokumen pada 2019.

Tertuduh, Muhamad Tarmymy Che Ani, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi ahli keluarga apabila mencadangkan syarikat yang bapa dan adiknya mempunyai kepentingan kepada Lembaga Perolehan Negeri Kedah bagi melakukan kerja menurap serta menyelenggara jalan di Taman Tiram, Kulim berjumlah RM200,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman pada 12 Disember 2019.

Berikutan itu tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda suapan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara curang menggunakan dokumen Minit Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sebutharga bertarikh 27 November 2019 yang palsu di Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman pada 5 Disember 2019.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa secara curang menggunakan dokumen Minit Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Harga, Peruntukan Projek Marris Tahun 2019 bertarikh 27 November 2019 di Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman pada 26 Disember 2019.

Bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh diwakili peguam M Puveneswaran.

Mohd Zulfadli kemudian memohon mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM50,000 ke atas tertuduh, namun Puveneswaran merayu jaminan ditetapkan hanya RM20,000 berikutan anak guamnya masih menyara isteri dan seorang anak.

Berikutan itu, Harmi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 berserta seorang penjamin dan menetapkan 9 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan di Kaunter Pembayaran Kompleks Mahkamah Alor Setar dan mengemukakan seorang penjamin ahli keluarga.

Sumber : Berita Harian


Hit : 1987