Kolumnis@SPRM

NGO perlu diinstitusikan oleh kerajaan


Oleh :

Datuk Seri Akhbar Satar

Pengerusi

Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah


Ramai di antara kita tidak menyedari mengenai Perkongsian Kerajaan Terbuka atau Open Government Partnership(OGP)yang dilancarkan pada 2011 oleh 8 Kerajaan Pengasas - Brazil, Indonesia,Filipina,Norway, Afrika Selatan, United Kingdom, Mexico dan Amerika Syarikat, untuk menyediakan platform dan peluang antarabangsa mengwujudkan proses kerjasama di antara organisasi masyarakat sivil dan kerajaan.


Hari ini terdapat 79 negara telah mengambil langkah melibatkan masyarakat sivil di dalam usaha meningkatkan prestasi, mendapatkan komitmen konkrit daripada kerajaan untuk bersikap lebih terbuka dan memupuk ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi.


Ia juga bertujuan untuk mengukuh dan menambah baik tadbir urus, memerangi rasuah, perubahan iklim, menambahbaik kesihatan, pendidikan, memanfaatkan teknologi baharu dan kritikan perkhidmatan awam yang lain serta menangani cabaran lama tadbir urus.


Situasi banjir dalam negara menunjukkan tidak ada penyelarasan di antara agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil yang menyebabkan kelewatan membantu mangsa. Perkongsian pintar yang diselaraskan dengan baik di antara kedua-dua pertubuhan masyarakat civil dan kerajaan akan mempercepatkan sistem penyampaian dan mengurangkan kemusnahan disebabkan bencana.


Jika Malaysia menganggotai OGP, masalah banjir dapat di atasi dengan lebih sempurna. OGP ini memimpin melalui pengalaman dan membantu masyarakat sivil untuk berkongsi amalan terbaik, mengajukan pengetahuan pakar untuk dipertimbangkan semasa kerajaan membuat keputusan. Ia dibentuk untuk memberi idea menyediakan bantuan teknikal bagi menyokong kapasiti dan institusi.


Sebagai contoh, pakar pakar OGP membantu dalam menghadapi banjir besar di United Kingdom dengan menggunakan data kerajaan(government data)untuk mencipta pelbagai aplikasi keggunaan mangsa banjir.


Satu lagi senario, Belanda juga menggunakan “big data” untuk meningkatkan kawalan banjir dan pengurusan seluruh sistem pengurusan air. Belanda kini mengekalkan salah satu sistem air yang canggih didunia dan dipantau rapi. Ia adalah perlu, memandangkan lebih separuh daripada rakyat Belanda tinggal di kawasan yang terdedah kepada banjir dan mempunyai sejarah banjir yang mengerikan.


Melalui OGP, audit penyertaan rakyat yang dilaksanakan di Filipina merupakan satu inisiatif yang boleh digunakan di Malaysia. Negara itu menggunakan maklum balas rakyat di dalam perkhidmatan awam seperti kawalan banjir yang telah melumpuhkan sebahagian Manila beberapa tahun yang lalu.


Dengan menyertai OGP akan mengubah sifat dan mewujudkan hubungan yang lebih sinergi dan formal di antara kerajaan dan masyarakat sivil di Malaysia, sambil membenarkan masyarakat sivil mengekalkan kebebasan mereka. Kedua-dua pihak akan bekerjasama membangun pelan tindakan nasional dan mereka juga akan berganding bahu di antara satu sama lain untuk memantau pelaksanaannya.


Apa yang berlaku di negara ini,walaupun ada hubungan kerajaan dengan msyarakat sivil, tetapi ia masih tidak teratur,informal dan kadangkala tangkap muat  sebarang NGO yang kurang wibawa dan ada kepakaran untuk memenuhi kuata jawatankuasa sahaja.


Salah satu prinsip pengasas OGP ialah tiada satu institusi, sama ada kerajaan atau organisasi yang mempunyai monopoli ke atas sesuatu idea atau inovasi. Semua pihak mempunyai sesuatu yang menafaat untuk dikongsi dan dipelajari.


Untuk menjadi dan layak  menyertai  OGP, setiap negara perlu bekerja dalam empat bidang, iaitu ketelusan fiskal, akses kepada maklumat, pendedahan berkaitan pegawai awam yang dipilih dan pegawai kanan serta penglibatan rakyat. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan dengan baik di  kebanyakan bidang, kecuali akses kepada maklumat.


Apabila kerajaan menyertai OGP ini, mereka mesti menyokong Deklarasi Kerajaan Terbuka Open Government Declaration)dan komited kepada prinsip prinsip berikut:


- Menggalakkan keterbukaan ketersediaan maklumat mengenai aktiviti kerajaan;

- Melibatkan rakyat di dalam membuat keputusan;

Melaksanakan piawaian tertinggi integriti profesional melalui pentadbiran;

Meningkatkan akses kepada teknologi baharu untuk keterbukaan dan akauntabiliti.


Kerajaan mesti bersedia untuk mengadakan mesyuarat rasmi secara tetap dan teratur dengan masyarakat sivil untuk menggalakkan penciptaan pembaharuan khusus serta mengujudkan kepercayaan di antara menteri dan penjawat awam peringkat tertinggi bagi membincangkannya.


Menurut Datuk Wan Saiful Wan Jan, bekas  Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, mereka yang berada di dalam kerajaan, adalah sangat penting untuk meneruskan hubungan yang sihat dengan kumpulan yang boleh menjadi "rakan kritikal" mereka.


Rakan kritikal ini mungkin mempunyai pandangan yang  bertentangan mengenai dasar tertentu kerajaan. Namun hujah dan kritikan mereka tidak boleh diketepikan begitu sahaja kerana mereka bersuara dengan kewibawaan, memberikan kritikan serta pandangan yang kritis dan konstruktif selain mempunyai alasan dan tidak retorik semata-mata. Kerjasama ini adalah demi kepetingan rakyat dan negara.


Apabila Francis Maude,bekan menteri Cabinet Office Paymaster General, United Kingdom membincangkan mengenai pembaharuan di dalam perkhidmatan awam, ketelusan dan banjir(Flood Hack event) di UK semasa mesyuarat Perkongsian Kerajaan Terbuka (OGP) di Dublin, beliau menyatakan perkara berikut:


“Perkongsian Kerajaan Terbuka(OGP), yang saya sangat bangga menjadi sebahagian daripadanya, adalah negara sedang mengubah cara melihat dan ‘melakukan’ keterbukaan. Kami semua telah melaksanakan komitmen yang bermakna - disokong oleh beberapa tindakan yang sukar dan praktikal. Dan ketelusan semakin dilihat ketara serta boleh diukur dengan kesan langsung kepada kehidupan masyarakat.


Saya telah mengatakannya sebelum ini dan saya akan menyatakannya sekali lagi: ketelusan ialah idea yang sudah tiba masanya."


Penglibatan kerajaan dengan masyarakat sivil perlu diinstitusikan dengan menyertai OGP, strategi yang diperbaharui, pendekatan berasaskan kebenaran untuk memastikan semua program negara ditadbir urus secara konsisten,teratur dan koheren. Ini akan menjadi medan untuk menang cepat, kemenangan yang paling penting - rakyat.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 2187