Berita Menarik

Bekas ketua unit kereta terpakai dijel, denda RM148,200

KUALA LUMPUR – Seorang bekas ketua unit kereta terpakai sebuah syarikat automotif tempatan dipenjara tujuh hari dan denda RM148,200 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan menerima rasuah RM21,940 berhubung penjualan kereta.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman penjara dan denda itu selepas tertuduh Cheah Kuang Meng ,39, mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak dan penjara 53 bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu. Tertuduh membayar jumlah denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kesembilan, tertuduh sebagai ketua unit kereta terpakai sebuah syarikat automotif didakwa telah menerima rasuah RM10,440 ke dalam akaun bank miliknya daripada beberapa individu sebagai balasan untuk memastikan supaya 10 buah kenderaan dijual kepada empat buah syarikat automotif lain.

Bagi pertuduhan ke-10 tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan deposit tunai berjumlah RM5,500 daripada sebuah syarikat automotif ke dalam akaun miliknya sebagai upah kerana memilih syarikat tersebut bagi membeli 11 buah kenderaan.

Sementara pertuduhan ke-11 dan ke-12, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan RM6,000 sebagai upah untuk memastikan dan mengekalkan sebuah syarikat pembangunan perisian (software developer) sebagai pembekal modul sistem utama.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Maybank Cawangan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail di sini antara 16 Julai 2019 hingga 22 Julai lalu (2021) yang didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, peguam Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan pengakuan salah tertuduh pada peringkat prosiding pertama pertuduhan telah menjimatkan masa mahkamah.

“Tertuduh menyesal dengan perbuatannya, dalam kes ini wang yang diterima adalah satu komisen atau ‘tips’ namun tertuduh tidak menyangka ia adalah satu rasuah. Jadi pohon mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan yang singkat,” kata peguam itu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mewakili pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan lebih daripada tempoh seminggu kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh bertentangan dengan polisi kerjanya.

“Tertuduh tidak boleh menerima komisen kerana ia bertentangan dengan kontrak kerja,” katanya. 


Sumber : K! ONLINE


Hit : 2348