Kolumnis@SPRM

Pengurusan Risiko Rasuah – Cegah Sebelum Terlambat

Oleh:
KPKPj Nazli Rasyid Sulong
Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia


Dalam konteks umum, jenayah rasuah ditafsirkan sebagai melakukan sesuatu tindakan walhal mengetahui bahawa perbuatan yang dilakukan itu adalah salah, dan dilakukan dengan perasaan serta niat yang jahat dengan unsur balasan atau ‘favour’.

Rasuah ini tidak terhad kepada pemberian atau penerimaan sesuatu bentuk suapan semata-mata tetapi ianya turut merangkumi penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan tuntutan palsu.

Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 2009 telah menjelaskan takrifan suapan di bawah Sekyen 3.

Perbuatan tersebut termasuklah penerimaan dan pemberian rasuah dalam pelbagai bentuk sama ada wang, upah, jawatan dan sebagainya, sebagai balasan supaya seorang itu melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasminya.

Dalam usaha menangani gejala rasuah di negara ini Kerajaan Malaysia telah meletakkan pelbagai usaha dan iktikad yang tinggi untuk membanteras segala jenayah rasuah dalam pelbagai sektor.

Sehubungan itu, kerajaan telah menubuhkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1967 lagi dan pada tahun 2008 telah diperkasakan melalui tranformasi kepada penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Transformasi BPR kepada SPRM bukan sahaja sekadar penjenamaan semula semata-mata, malah mekanisme semak dan imbang telah  diwujudkan melalui pembentukan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Aduan (JKA), Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang berperanan untuk memantau, menasihati serta memastikan fungsi dan tanggungjawab Suruhanjaya ini dilaksanakan dengan cekap, berkesan, bebas dan telus.

Dengan kuasa penyiasatan lebih luas, kuasa-kuasa perundangan, bilangan keanggotaan dan peruntukan yang ditambah, penubuhan SPRM dan pemerkasaan telah memberi persepsi yang lebih baik terhadap usaha pencegahan rasuah oleh kerajaan.

Antara salah satu usaha SPRM dalam memerangi jenayah rasuah melalui tindakan pencegahan adalah melalui Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, SPRM yang menggunakan Pengurusan Risiko Rasuah atau Corruption Risk Management (CRM). 

Pengurusan risiko bermula melalui arahan YAB Perdana Menteri Bilangan 1 Tahun 1998 yang telah menjelaskan keperluan penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) di peringkat Kementerian, Negeri dan Daerah.

Melalui JKP ini, terbentuk satu kaedah pengurusan awam dikenali sebagai Sistem Pengurusan Akauntabiliti dan Integriti Sektor Awam (SPAI), yang dibangunkan dengan kerjasama Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) bersama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Seterusnya JKP ini digantikan dengan Arahan YAB Perdana Menteri Bil 1 Tahun 2009 iaitu Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia dengan penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus (JKTU). 

Arahan tersebut mengesyorkan Kementerian, Jabatan dan Agensi hendaklah mengamalkan teknik-teknik pengurusan risiko sebelum melaksanakan sesuatu projek atau program terutamanya yang berisiko tinggi untuk meminimalkan risiko semasa pelaksanaannya. Antara kaedah yang diguna pakai adalah penggunaan sistem SPAI.

Konsep SPAI ini masih diteruskan melalui Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) sehingga Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) dan telah diberi nafas baharu melalui penjenamaan semula dikenali sebagai CRM. Ianya merupakan satu alat pengurusan risiko menggabungkan Kaedah Pengurusan Risiko Rasuah Antarabangsa, (ISO 31000:2009 – Risk Management: Principle and Guidelines) dan Global Compact: A guide for Anti-Corruption Risk Assesment) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Risiko rasuah ini terletak di dalam komponen “Hazard Risk” yang menyentuh kepada isu-isu melibatkan moral, integriti, fraud dan salah laku.
CRM digunakan dalam menangani isu-isu risiko rasuah dengan menghasilkan pelan yang bercirikan pencegahan rasuah dan mendukung nilai-nilai integriti, dengan mengambil kira impak atau akibat serta kebarangkalian sesuatu risiko itu berlaku.

Sebagai contoh negara di Australia, New South Wales (NSW) Independent Commission Against Corruption (ICAC) telah mengaplikasikan pengurusan risiko rasuah melalui ‘Risk Management Toolkit for NSW Public Sector Agencies’ yang berperanan sebagai satu standard dan garis panduan dalam merealisasikan usaha-usaha pencegahan rasuah dan salah guna kuasa melalui pendekatan dan kawalan yang pelbagai.

CRM juga membolehkan organisasi mengenalpasti punca-punca berlakunya risiko rasuah, seterusnya merangka pelan tindakan bagi mengatasinya secara holistik, berdasarkan 7 terma rujukan yang digunapakai.

Dasar dan Perundangan

Mengenalpasti, mengkaji serta memperakukan pindaan kepada mana-mana dasar dan perundangan kementerian, jabatan, dan agensi serta peraturan-peraturan yang dapat mengatasi kelemahan pengurusan, mempertingkatkan kawalan terhadap perlakuan rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan kelemahan pentadbiran. Seterusnya mewujud dan mendokumenkan pelan strategik bagi meningkatkan amalan tadbir urus terbaik.

Amalan ini berupaya mengatasi karenah birokrasi ke arah pencapaian Perkhidmatan Awam yang berintegriti, akauntabiliti, amanah, jujur, pengawasan dan pengamanahan (stewardship), telus dan responsif terhadap pelanggan.

Sistem dan prosedur kerja

Mengenalpasti dan mengkaji kelemahan dalam sistem dan prosedur kerja yang lapuk, rumit, penggunaan budi bicara tanpa garis panduan dan kerenah birokrasi. Kelemahan ini boleh membuka ruang dan peluang kepada perlakuan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.

Nilai-nilai murni dan kod etika

Melaksanakan aktiviti penggalakan, penerapan serta penghayatan nilai-nilai murni dan etika bagi memantapkan integriti. Menerap dan menghayati nilai-nilai murni dan kod etika dalam pelaksanaan dasar, perundangan peraturan sistem dan prosedur kerja bagi mengekang hawa nafsu daripada melakukan perkara negatif termasuk rasuah penyelewengan dan salahguna kuasa

Pengurusan pelanggan

Mewujudkan satu sistem pengurusan pelanggan yang cekap, peka, mesra dan responsif terhadap kehendak pelanggan. Kegagalan menangani kehendak pelanggan sama ada stakeholders, pelanggan luar dan pelanggan dalaman boleh mengakibatkan organisasi dilihat sebagai gagal memenuhi peranan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Pengurusan pelanggan yang strategik dan berkualiti memperlihatkan penambahan nilai dan pembaharuan berterusan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan.

Kawalan dalaman

Mewujudkan struktur organisasi dan penurunan kuasa yang jelas, aliran kerja yang telus dan akauntabiliti. Pengunaan sumber yang optimum dan sistem pengurusan maklumat yang cekap dan berkesan untuk membantu organisasi mencapai misi dan matlamat atau objektif utama yang ditetapkan. Kawalan dalaman membolehkan sumber-sumber organisasi diarah, dipantau dan diukur untuk mengurangkan kerenah birokrasi serta mencegah perlakuan yang mendekati rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Tindakan pengesanan, punitif dan pemulihan

Mekanisme mengesan sebarang bentuk pelanggaran undang-undang, peraturan, sistem dan prosedur kerja atau kod etika kerja. Mengambil tindakan pembetulan dan pencegahan dengan segera berdasarkan kepada undang-undang atau peraturan tatetertib terhadap mereka yang terlibat. Memberi kerjasama atau melaporkan kepada agensi penguatkuasa mengenai sebarang bentuk kesalahan atau jenayah yang dilakukan oleh warga kerja.

Pengiktirafan dan Penghargaan

Memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pegawai yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang dan menunjukkan nilai-nilai murni melalui aktiviti-aktiviti sukarela, memberi nasihat dan bimbingan agama serta mereka yang melaporkan kes-kes rasuah, penyelewengan dan salah laku dalam kementerian, jabatan dan agensi.

Antara inisiatif dalam Pelan Anti Rasuah Nasional adalah mewajibkan sektor awam untuk membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dengan dibantu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia dan mana-mana pihak yang berkelayakan.

Antara pendekatan yang paling berkesan dalam pembangunan OACP ini adalah penggunaan CRM. Pembangunan pelan CRM ini bermula dengan peringkat menganalisa data sedia ada melalui Biro Pengaduan Awam, statistik aduan atau kes-kes SPRM, Laporan Ketua Audit Negara dan lain-lain data yang sesuai digunakan untuk mendapatkan  isu rasuah sebenar yang telah berlaku di organisasi.

Selain itu, organisasi juga boleh mengenalpasti potensi isu atau risiko rasuah yang boleh berlaku dalam organisasi melalui perbincangan dan pemerhatian dan juga soal selidik.

Barangkali data atau statistik tidak menunjukkan bilangan kes yang signifikan, namun isu ini mungkin berlaku dalam situasi sebenar tetapi tidak dilaporkan. Puncanya atas faktor kelemahan saluran aduan dalaman, tahap keyakinan yang rendah untuk menyalurkan maklumat serta isu perlindungan terhadap pemberi maklumat.  

Untuk itu, organisasi perlu mengambil kira perkara tersebut dalam pembangunan CRM ini bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan yang efisien sekali gus menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah di dalam organisasi.

Banyak organisasi telah membangunkan pelan pencegahan rasuah ini dengan  sumber latihan dan kepakaran oleh pegawai SPRM melalui Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia yang merupakan hub latihan pencegahan rasuah di Malaysia.

Bagi tempoh 2016 hingga September 2021, SPRM telah membantu 227 organisasi dalam membangunkan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah dengan jumlah tertinggi iaitu 85 pada tahun 2019. Manakala  37, 28, 25, 28 dan 24 masing-masing bagi tahun 2016, 2017, 2018, 2020 dan 2021.

Latihan pembangunan pelan CRM ini tidak tertakluk untuk latihan dalam negara sahaja malah turut terkenal di peringkat antarabangsa. Antara negara yang pernah menghadiri dan mempelajari ilmu CRM dalam menangani rasuah di negara adalah seperti Fiji Independent Commission Against Corruption (FICAC), India National Institute of Financial Management (NIFM), Bhutan Anti-Corruption Commission (ACC).

Tidak ketinggalan juga sektor swasta dan korporat, terdapat permintaan yang tinggi bagi mendapatkan khidmat SPRM dalam CRM ini yang turut sesuai digunakan sebagai salah satu tindakan pencegahan rasuah bagi memenuhi kehendak pemakaian Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang melibatkan pelaksanaan peruntukan liabiliti korporat membabitkan organisasi komersial.

Kesimpulannya, sekiranya rasuah tidak dibendung dari awal maka tidak hairanlah sedikit sebanyak akan menyebabkan kemerosotan ekonomi dan pengabaian kepentingan masyarakat sehingga berlakunya ketirisan wang rakyat juga penularan budaya yang tidak sihat dalam perniagaan.

Walaupun sekarang negara berdepan dengan pandemik COVID-19, namun ianya bukan halangan bagi SPRM dalam membantu sektor awam dan swasta menjayakan usaha pencegahan rasuah secara berterusan


Hit : 4175