Kerajaan Negeri Melaka Laksana IBR Perangi Rasuah
JOHOR BAHRU, 15 Dis. – Kerajaan Negeri Melaka telah menyahut seruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Forest City, hari ini.
Sesi lafaz ikrar ini diketuai oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama 23 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco Dan Ex-Officio) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Melaka dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya.
Dato' Sri Ahmad Khusairi berkata inisiatif ini membuktikan kesungguhan komitmen Kerajaan Negeri Melaka dalam usaha memperkasa tadbir urus yang bersih dan telus untuk memastikan pentadbiran organisasi dapat dilaksanakan dengan lebih telus serta bebas dari gejala rasuah.
“Majlis ini merupakan komitmen yang tinggi dan mantap oleh kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah negeri yang bebas rasuah dan 'zero tolerance' terhadap perlakuan jenayah rasuah.
“Tindakan ini juga mampu meningkatkan rasa tanggungjawab anggota pentadbiran dalam melaksanakan tugas masing-masing sekaligus menjauhkan diri daripada perbuatan rasuah khususnya sepanjang menjawat jawatan yang disandang sekarang,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ikrar Bebas Rasuah Ketua Menteri Melaka Bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco Dan Ex-Officio) Serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka.
Tambah beliau, SPRM sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana agensi di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka untuk melaksanakan program pendidikan antirasuah.
Turut hadir Pengarah SPRM Negeri Johor, Dato' Azmi Alias dan Pengarah SPRM Negeri Melaka, PKPj Mohd Shahril Che Saad.