Kolumnis@SPRM

HARI ANTIRASUAH ANTARABANGSA, Buktikan anda amanah!


Oleh

Noor Mohamad Shakil Hameed

Penulis ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa



Pada 9 Disember lalu, masyarakat dunia menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA). Ia disambut pada setiap tahun sejak 2003 apabila Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 9 Disember sebagai hari bagi menyedarkan masyarakat dunia tentang rasuah dan kesan buruknya.


Tema sambutan HARA pada tahun ini dilihat cukup simbolik dan signifikan, iaitu Hak Anda, Peranan Anda: Katakan Tidak Kepada Rasuah. Ironinya bila bercakap tentang masalah rasuah kita perlu tahu hak dan peranan kita. Misalnya kita berhak menikmati kehidupan yang bebas rasuah atau berintegriti dan untuk itu kita perlu memainkan peranan yang sewajarnya.


Hakikatnya masalah rasuah di negara kita cukup serius dan semakin membimbangkan. Rasuah boleh dikatakan sudah bertapak dalam hampir semua sektor ekonomi, sosial dan perkhidmatan di negara kita termasuklah dalam soal pengurusan jenazah. Apa yang membezakannya hanyalah sejauhmana ia terbongkar dan didedahkan serta jumlah kerugian yang terlibat.


Malah, amalan rasuah juga kelihatan semakin menjadi lazim dan amalan biasa dalam kehidupan semua lapisan anggota masyarakat kita. Ingat, jangan hanya menuding jari kepada agensi kerajaan mahupun penjawat awam semata-mata, sebaliknya rasuah juga semakin berleluasa dalam sektor swasta dan dunia korporat.


Kerugian yang dialami oleh negara akibat pelbagai salah laku rasuah seperti penyelewengan, salah guna kuasa dan ketirisan cukup membimbangkan. Misalnya, Transparency International Malaysia pernah melaporkan negara kerugian lebih kurang RM40 bilion hingga RM50 bilion akibat aktiviti rasuah di mana impak rasuah kepada pertumbuhan ekonomi ternyata suatu realiti yang pahit untuk ditelan.


Malah laporan daripada Global Financial Integrity yang dikeluarkan pada 2017 pula menyatakan Malaysia kehilangan RM1.8 trilion menerusi aliran kewangan tidak sah antara 2005 hingga 2014 apabila sebahagian daripadanya berpunca daripada amalan rasuah.


Jadi, tatkala kita masih bergelut dengan krisis ekonomi dan kesihatan berpunca daripada wabak Covid-19, adakah negara bersedia atau mampu untuk kehilangan wang rakyat sebanyak ini akibat perbuatan rasuah? Bukankah ini satu bentuk pengkhianatan, jenayah terancang dan kezaliman yang nyata terhadap rakyat dan negara.


Jujurnya, rakyat berhak menikmati kehidupan yang lebih baik dan sejahtera jika semua wang yang diseleweng ini dapat digunakan dan dimanfaatkan untuk pembangunan rakyat dan negara. Namun malangnya itu tidak berlaku kerana angkara tangan ghaib yang mementingkan diri dan mengkhianati amanah yang disandarkan di bahu mereka.


Oleh itu sudah tiba masanya untuk rakyat bangkit menuntut dan mempertahankan hak yang dirampas selama ini. Kita tidak boleh membiarkan lagi penjenayah rasuah ini terus merampas hak kita dan menganiaya kehidupan generasi hari ini dan juga generasi akan datang.


Sesungguhnya negara kita cukup kaya dengan pelbagai sumber yang boleh mensejahterakan kehidupan rakyat jika ia digunakan dengan betul dan penuh berhemah tanpa sebarang penyelewengan.


Maka inilah masanya untuk kita memainkan peranan yang lebih aktif, agresif dan proaktif. Kita tidak boleh berdiam diri mahupun menutup mata dan telinga sebaliknya perlu lebih peka dan sensitif dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling.


Tindakan sebahagian besar daripada kita yang selama ini membiarkan pengkhianat merompak ekonomi rakyat dan negara cukup merugikan dan mula memberi kesan yang besar kepada kehidupan kita. Percayalah sikap tidak mengambil peduli inilah menyebabkan penjenayah rasuah ini semakin berani bertindak termasuk secara terang-terangan.


Ironinya, pada hari ini budaya memberi dan meminta rasuah atau suapan seolah-olah tidak lagi dianggap sebagai suatu perbuatan yang memalukan atau perlu ditakuti kerana sudah terbiasa dan mereka yakin akan terlepas.


Oleh itu, peranan kita adalah perlu meletak titik noktah kepada budaya rasuah ini. Kita perlu mendidik diri dan anggota masyarakat lain untuk menjunjung nilai-nilai murni serta sentiasa berpaksikan kepada amalan integriti yang tinggi.


Untuk itu ia perlu dimulakan dari diri kita sendiri terlebih dahulu, misalnya kita perlu berlaku jujur dan melazimi budaya integriti yang tinggi dalam kehidupan seharian.


Percayalah kalau kita berani dan bertegas untuk tidak memberikan rasuah sekali gus tidak melayan apa jua permintaan daripada mana-mana individu ianya boleh menjadi detik dan titik permulaan penting yang boleh memutuskan budaya dan rantaian rasuah dalam urusan yang terbabit.


Dalam hal ini, kita tidak perlu takut dengan andaian kononnya jika kita tidak memberikan suapan urusan kita tidak akan berjaya. Stigma sebeginilah yang menyebabkan amalan rasuah masih berterusan. Jangan biarkan mereka yang ada kuasa dan suka salah guna kuasa ini menakutkan kita. Kita sepatutnya meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada sistem dan prosedur kerja yang dilaksanakan oleh setiap organisasi kerana ia meletakkan kepuasan pelanggan sebagai agenda utama. Oleh itu jika kita mematuhi segala proses yang telah ditetapkan mengikut landasan yang betul maka tiada keperluan untuk takut serta perlu menghulurkan duit kopi kepada pegawai yang terlibat.


Pada masa sama, kita juga berperanan untuk melaporkan rasuah yang berlaku. Jangan tutup mata dan berdiam diri sehingga rasuah semakin menjadi wabak yang sukar dikawal.


Vaksin terbaik untuk virus ini adalah rakyat perlu tegas dan berani untuk melaporkan semua jenis salah laku yang berlaku di depan mata demi melindungi hak semua pihak.


Dalam hal ini, kita boleh berpaut kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang menggalakkan pendedahan maklumat mengenai sebarang jenayah rasuah atau salah laku lain. Akta ini akan memberi perlindungan kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan memudaratkan akibat daripada pendedahan yang telah dibuat.


Tuntasnya, katakan tidak kepada rasuah dengan cara menunaikan hak dan peranan kita dalam membendung musuh nombor satu negara ini dari terus merompak kekayaan negara dan kesejahteraan rakyat.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 3404