Berita Terkini

SPRM Tingkat Usaha Sama Perangi Rasuah Bersama Ekspatriat

KUALA LUMPUR, 9 Dis. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2021 bagi memerangi jenayah rasuah di negara ini.


HARA 2021 peringkat kebangsaan yang diraikan menyasarkan penglibatan komuniti profesional ekspatriat di negara ini dalam usaha memerangi rasuah bersama SPRM. Bertemakan ‘Your Right, Your Role: Say No To Corruption’, SPRM telah berkongsi mengenai inisiatif-inisiatif berkaitan antirasuah dilaksanakan oleh kerajaan dan Suruhanjaya sejak beberapa tahun kebelakangan.


Sambutan HARA 2021 diadakan menyusuli pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2003 yang menetapkan 9 Disember setiap tahun sebagai tarikh sambutan.


Di peringkat ibu pejabat, sesi dialog melibatkan Pengurusan Tertinggi SPRM bersama ekspatriat perniagaan dari 10 negara diadakan secara serentak di dua lokasi berasingan sekitar Kuala Lumpur serta Selangor dengan kerjasama Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Transparency International Malaysia (TI-M) dan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO).


Di Selangor, sambutan HARA 2021 yang diadakan di Star Media Group, Petaling Jaya membabitkan ekspatriat perniagaan yang mewakili Eropah, India, China dan Indonesia. Sesi taklimat dan dialog memberi fokus kepada inisiatif berkaitan antirasuah termasuk pandangan ekspatriat berkaitan usaha pencegahan rasuah di negara ini. 


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya dalam ucapannya turut mengharapkan hubungan SPRM dan ekspatriat perniagaan dapat diperkukuhkan dan memanfaatkan pengalaman mereka dalam meningkatkan langkah pencegahan rasuah di negara ini. 


Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor dan Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Izani Wan Ishak. 


Manakala, sambutan HARA 2021 di Kuala Lumpur pula telah diadakan di FMM, Bandar Sri Damansara membabitkan ekspatriat perniagaan mewakili Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), Kanada, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan. Sesi taklimat dan dialog memberi fokus berkaitan komitmen dalam agenda pencegahan rasuah.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali turut mengalu-alukan cadangan dan pandangan berkaitan perlakuan rasuah dalam usaha mencegah perbuatan tersebut daripada terus berleluasa.


Turut hadir sambutan tersebut adalah Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram SPRM, TPj Mohammad Zamri Zainul Abidin dan  Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, KPKPj Nazli Rasyid Sulong. 


Hit : 2340