Berita Terkini

Penjawat Awam Hidup Mewah Dalam Radar SPRM

SEREMBAN, 7 Disember - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengingatkan bahawa mana-mana penjawat awam yang hidup mewah hasil daripada rasuah tidak akan terlepas daripada radar serta siasatan Suruhanjaya ini.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki berkata, pegawainya boleh menyiasat penjawat awam yang hidup dalam kemewahan walaupun hanya bergaji kecil dan bergred rendah.


Katanya, keadaan itu adalah petanda besar terdapat kemungkinan penjawat awam berkenaan terlibat dengan rasuah.


"SPRM pernah menyiasat satu kes dimana penjawat awam bergred 32 tapi mampu beli kereta dan rumah mewah secara tunai.


“Mereka ini boleh disyaki dan saya boleh arahkan pegawai untuk menyiasat mereka. Bagaimana mereka boleh pakai kereta mewah dan rumah besar sedangkan hanya bergaji kecil? Ada kemungkinan mereka menggunakan kuasa yang ada untuk menerima rasuah," katanya.


Tambahnya, ketua jabatan di kementerian serta agensi kerajaan perlu memantau kakitangan mereka yang hidup mewah biarpun mempunyai tahap keberhutangan yang tinggi. Malah, sentiasa ada mata dan telinga yang memerhati dan melihat kehidupan mewah mereka.


Beliau berkata demikian semasa mengulas tajuk Tolak Rasuah Rezeki Berkat Waghih Hebat pada sesi temubual Santai Oghok Potang bersama DJ Siti di Negerifm yang disiarkan menerusi radio dan 'youtube' hari ini.


Turut hadir Pengarah SPRM Negeri Sembilan, KPKPj Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail; Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, PKPj Kamaruddin M Ripin serta Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan, Azleen Suzana Zakaria.

Hit : 449