Berita Terkini

SPRM Perlu Sokongan Keluarga Malaysia Perangi Rasuah

Kota Kinabalu, 9 Dis. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan sokongan Keluarga Malaysia untuk terus memerangi jenayah rasuah dalam negara.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki berkata, penglibatan semua pihak dalam Keluarga Malaysia seperti mahasiswa, Badan Bukan Kerajaan (NGO), ketua-ketua jabatan, pemimpin politik, rakan media dan lain- lain adalah sangat penting dalam mendidik serta menyebarluas mesej anti rasuah secara berkesan.


"Pelaksanaan kebersamaan ini secara proaktif dapat membantu SPRM dalam usaha mengurangkan ketirisan dalam negara.


"Bukan sekadar menolak rasuah, SPRM juga menyeru Keluarga Malaysia untuk menjadi mata dan telinga kerajaan serta segera melaporkan perlakuan rasuah yang berlaku," ujar beliau.


Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2021 peringkat Negeri Sabah yang bertemakan 'Your Right, Your Role: Say No To Corruption di sini, hari ini.


Majlis perasmian sambutan HARA 2021 ini telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Dato' Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.


Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunasalam; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai dan Pengarah SPRM Negeri Sabah, Datuk Karunanithy Y. Subbiah.


Sempena sambutan HARA 2021 itu turut diadakan Sesi Dialog SPRM bersama Ekspatriat yang mengupas isu berkaitan pemakluman inisiatif pencegahan rasuah oleh kerajaan dan SPRM serta ke arah penambahbaikan pencapaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI).


Sesi dialog ini menampilkan dua panel jemputan iaitu Datuk Karunanithy dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd, Jean-Francois Audy. Moderator bagi program ini adalah Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia Negeri Sabah, Syaheddrul R Joddari.

Hit : 2230