Berita Terkini

Adat Perpatih melingkari hidup berintegriti

SEREMBAN, 7 Dis - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama rakan strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan telah menganjurkan Kolokium Antirasuah 'Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegriti' yang bertujuan untuk menyampaikan kesedaran nilai-nilai murni melalui platform Adat Perpatih sebagai wadah memerangi rasuah.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, Adat Perpatih adalah satu peraturan hidup yang diamalkan oleh masyarakat Negeri Sembilan dan Naning di Melaka sejak dahulu lagi.


"Dalam aspek pencegahan rasuah, saya berpandangan Adat Perpatih juga memainkan peranan penting dan berguna bagi mewujudkan masyarakat yang beramanah dan berintegriti.


"Perlakuan rasuah pasti tidak akan berlaku sekiranya masyarakat memahami undang-undang yang sedia ada,” katanya.


Tambah beliau, dengan kerjasama semua pihak, rasuah tidak akan menjadi budaya dalam kehidupan. Justeru, amanah dan tugas yang diberi perlu dipikul dengan penuh berintegriti. Walaupun ia dilihat berat tetapi tetap tersembunyi pahala yang besar.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Kolokium Antirasuah 'Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegriti' bertempat di Auditorium D’Sury, Kompleks JKKN Negeri Sembilan.


Selain itu, Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dato’ Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin telah membentangkan Kertas l bertajuk Teromba Jenayah Adat Perpatih; manakala Kertas ll dibentangkan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Datuk Razim Mohd Noor dengan tajuk Bebas Rasuah : Memantapkan Budaya Beradat sementara pembentangan Kertas lll telah disampaikan oleh Yang Di Pertua Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim dengan tajuk Adat dan Perlembagaan Undang-Undang.


Turut hadir Ketua Pengarah JKKN, Tuan Haji Mesran Mohd Yusop; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar & Perancangan) JKKN, Salehhuddin Md Salleh; Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Keseniaan) JKKN, Mohd Amran Mohd Haris; Pengarah SPRM Negeri Sembilan, KPKPj Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail; Pengarah JKKN Negeri Sembilan, Rahmat Haji Md Noh; Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Drs Shamsuddin Ahmad serta Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, PKPj Kamaruddin M Ripin.




Hit : 426