Kolumnis@SPRM

Belanja ke Jalan Agama Bukan Syarat Sucikan Hasil Rasuah


Oleh: 

Dr Nik Roskiman Abdul Samad

Felo Kanan, Pusat Kajian Shariah, Undang-Undang dan Sains Politik

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)



Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi 2020 jatuh ke tangga 57 daripada 180 buah negara berbanding tangga ke-51 pada 2019. Apa lebih menyedihkan negara yang menduduki kedudukan rasuah tertinggi dunia seperti Somalia, Syria, Yaman, Sudan dan negara umat Islam lain. 


Jika dilihat, kalimah ‘rasuah’ antara 2,000 hingga 3,000 kalimah Arab yang diserap masuk ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu. Ia berasal daripada kalimah Arab ‘rasha’ yang bermaksud menerima atau memberi rasuah, berlaku korup atau bersedia untuk ‘dibeli’. 


Dalam masyarakat kita, kalimah rasuah sememangnya dilihat  menjijikkan. Namun bagi yang masih ingin terbabit perlakuan menyalahi undang-undang, tidak bermoral dan tidak mengikut peraturan atau prosedur sebenar, mengikut jalan ekspres atau seumpamanya, mereka ini tidak lagi menggunakan kalimah ‘rasuah’ ketika berurusan.


Sebaliknya, ia diganti kalimah lain seperti ‘duit kopi’, ‘wang pelincir’, ‘duit minyak’, ‘win-win’ (menang-menang) atau pelbagai kalimah lain, dengan harapan disucikan demi menghalalkan rasuah yang haram dan keji itu. 


Meninjau senario rasuah, amat menyedihkan sekali apabila masih ramai umat Islam terbabit gejala menjijikkan itu, sedangkan amatlah jelas sekali mengambil atau memberi rasuah hukumnya haram.  Al-Quran menyebut bahawa memakan harta secara jalan salah (batil) dilarang sama sekali dan rasuah adalah satu daripada jalan batil terbabit. 


Allah SWT berfirman mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah. (Surah al-Nisa’ ayat 29 hingga 30).


Mementingkan kesucian, kebersihan


Islam adalah agama yang sangat mementingkan kesucian dan kebersihan, bukan sahaja suci bersih dari segi zahir, tetapi juga dari segi batin atau rohani. Ada perkara yang diharamkan Islam kerana zahirnya atau zatnya seperti memakan daging babi, meminum arak dan seumpamanya. Ada juga yang diharamkan dari segi hukum atau maknawi, contohnya seperti memakan riba; memakan binatang yang walaupun halal seperti ayam dan lain-lain, tetapi tidak disembelih dengan nama Allah SWT, atau ‘memakan’ (mengguna) rasuah.


Perlu lihat dari segi maslahah


Boleh dikatakan, semua orang Melayu-Islam di negara kita akan jijik untuk memakan daging khinzir, namun sebahagian mereka yang jijik dengan khinzir itu tidak pula jijik untuk memakan rasuah sedangkan kedua-duanya adalah sama dari segi hukumnya iaitu haram. Yang satunya haram dari segi memakan zat atau fizikalnya (haram lidhatihi), manakala satu lagi haram dari segi mengambil atau memberi atau terbabit  dengan rasuah itu (haram lighayrihi).  


Ada juga yang menggunakan wang kotor seperti rasuah yang sudah ‘disucikan’ dengan menggunakannya untuk tujuan baik dan kebajikan seperti untuk mendirikan haji, atau menaja orang lain mendirikan umrah atau haji, atau bersedekah sebahagiannya kepada masjid, pusat tahfiz, madrasah atau rumah anak yatim dan seumpamanya.


Ada juga segelintir yang bimbang dan lebih berhati-hati dengan wang haram rasuah, contohnya jika dibeli makanan akan menjadi tidak berkat kerana ia memberi kesan menjadi darah daging untuk anak-anak dan isteri. Lalu digunakan wang hasil rasuah untuk perkara lain seperti membeli barangan, menukar tayar kenderaan dan pelbagai lagi asalkan bukan berbentuk makanan. 


Golongan ini beranggapan tindakan sedemikian mampu mengubah wang yang ‘haram’ itu menjadi ‘halal’ dan kononnya tidak akan memberi apa-apa kesan tidak baik. 


Hakikat sebenar ialah bersedekah menggunakan wang rasuah atau menggunakannya selain untuk membeli makanan, tetap haram dan tidak diterima Allah SWT. Tidak boleh sama sekali beranggapan dan berasa selesa bahawa wang rasuah berjaya dibersihkan atau disucikan, sedangkan Allah SWT sama sekali tidak menerima amalan kebajikan itu. Ini berdasarkan kepada hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda, “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu thoyyib (baik). Allah tidak akan menerima sesuatu melainkan dari yang thoyyib (baik).“ (HR Muslim).


Sepatutnya kita umat Islam yang mukmin bukan sahaja menjauhkan sumber yang jelas haram hukumnya, tetapi juga mengelak daripada terjebak ke dalam sumber yang samar (subahat) hukumnya kerana bimbang terjerumus ke dalam perkara haram. 


Pembabitan seseorang dalam rasuah  juga cerminan kepada kekuatan iman dimilikinya. Sekiranya sanggup memakan rasuah yang diharamkan Allah SWT dan bersedia dihumban ke dalam neraka, itu petanda betapa nipisnya keimanan seseorang hamba.

 Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 1814