Berita Menarik

Anggota APMM berdepan 32 tuduhan terima rasuah dari nelayan

KUANTAN – Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas 32 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM26,200 daripada nelayan empat tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Mohd. Norizan Yahaya, 46, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zani.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh yang berpangkat Bintara Muda Maritim dan bertugas di Zon Maritim Kuala Kedah didakwa telah menerima suapan berjumlah RM26,200 daripada Neo Siang Joo melalui pindahan wang secara dalam talian ke dalam akuan Bank Islam miliknya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Mahkota Square Jalan Mahkota, antara 13 Mei 2018 hingga 30 Mei 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Fauzee Azizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding tersebut Mohd. Fauzee Azizan memohon mahkamah menawarkan ikat jamin RM20,000 terhadap semua pertuduhan beserta seorang penjamin.

Bagaimanapun Mohd. Norizan yang tidak diwakili peguam meminta agar wang ikat jamin dikurangkan atas alasan dia perlu menanggung isteri dan anak yang masih bersekolah.

Tertuduh juga memberitahu, isterinya menghidap penyakit kanser rahim dan memerlukan perbelanjaan yang banyak setiap bulan selain memohon mahkamah membenarkan jaminan RM4,000.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan yang dihadapinya dengan seorang penjamin dan diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai

Hakim menetapkan sebutan semula kes pada 6 Januari tahun depan.

Sumber : K! ONLINE

Hit : 2072