Kolumnis@SPRM

Mengatasi sindrom kartel dan gejala rasuah


Oleh :

Datuk Seri Akhbar Satar

Pengerusi

Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah


Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini mendedahkan telah menerima maklumat mengenai kewujudan kartel di pelbagai peringkat dalam kalangan pegawai imigresen sehingga menjejaskan tahap integriti jabatan berkenaan.


Dikatakan kehadiran kartel dengan pembabitan pegawai dalaman tersebut membolehkan mereka bebas bergerak di jabatan berkenaan, termasuk di pintu masuk lapangan terbang.


Pendedahan ini amat memalukan negara memandangkan agensi berkenaan adalah antara frontliner kerajaan yang dipertanggungjawabkan dengan satu amanah yang amat besar. Jika jabatan tersebut pun dapat dibolosi seperti dilaporkan, siapa lagi yang boleh dipercayai?


Oleh sebab itu, pegawai kerajaan yang bertanggungjawab dengan urusan penguatkuasaan undang-undang dan menjaga pertahanan serta keselamatan negara namun melakukan jenayah seumpama ini boleh dianggap sebagai pengkhianat negara.


Rasuah sudah menjadi satu perbuatan yang diterima sebagai norma dalam kehidupan masyarakat terutamanya pegawai kerajaan. Malah telah menjadi warisan yang mana pegawai atasan mengajar pegawai baharu untuk terlibat dalam rasuah menyebabkan ia sukar dibendung. Tepat seperti yang dinyatakan dalam teori kriminologi “Crime is learned”.


Akhir-akhir ini banyak pendedahan dan publisiti mengenai isu etika pegawai, ketirisan dan fraud, namun tiada tindakan yang efektif diambil oleh jabatan dan pihak kerajaan. 


Kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk membersihkan nama negara yang sudah tercalar yang sekali gus boleh menghakis kepercayaan masyarakat serta merosakkan imej kerajaan di mata dunia.


Apa yang lebih menggerunkan, pada April lalu, satu sindiket dengan kerjasama ‘orang dalam’ telah berjaya menggodam pangkalan data imigresen iaitu Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dengan memasang transmitteruntuk membolehkan anggota sindiket menukar kata laluan pegawai imigresen dan seterusnya mencetak PLKS daripada pusat operasi mereka di luar pejabat imigresen.


Ini merupakan satu pencerobohan ke dalam pangkalan data agensi kerajaan dan merupakan isu kebocoran keselamatan yang sangat serius. Keupayaan ahli sindiket menggodam sistem komputer imigresen membolehkan mereka mencetak PLKS dan menjualnya kepada warga asing yang bekerja secara haram di negara ini.


Teori fraud mengesahkan bahawa terdapat “collusion” antara sindiket dengan orang dalam. Oleh kerana segelintir pegawai imigresen yang tidak berintegriti dan tidak amanah, dengan menerima suapan, akhirnya keselamatan dan pertahanan negara tergugat selain sempadan negara turut dikompromi.


Jika kita berkhidmat dengan jujur dan mempunyai integriti yang tinggi, budaya kartel dan sindiket dapat dihindar. Apakah kita tidak mempunyai semangat sayangkan negara sehingga membiarkan PATI dan orag luar memasuki negara tanpa dokumen?


Dalam hal ini, ketua kementerian, jabatan dan agensi perlu mengawasi dan peka terhadap ‘red flag’ gejala rasuah pegawai atau anggota yang hidup mewah berbanding pendapatan, terlalu rapat dengan pelanggan, enggan mengambil cuti atau menolak kenaikan pangkat disebabkan “lubuk cari duit” jawatan sedia ada. Setiap pegawai dan anggota perlu ditukarkan (rotate) setiap 3 tahun.


Individu yang mempunyai integriti yang rendah perlu diambil tindakan tegas. Mereka tidak diletakkan di unit berisiko tinggi dan seharusnya tidak dinaikkan pangkat meskipun mereka mempunyai kelayakan dan kehebatan dalam tugas masing-masing.


Ketua jabatan juga perlu mengawasi pegawai atau anggota bawahan dan mereka sendiri perlu memperlihatkan contoh yang baik kepada anggota dengan menggunakan prinsip kepimpinan melalui teladan. Hanya ketua yang baik dan berintegriti akan dihormati dan dipatuhi oleh pegawai atau anggota bawahan.


Satu perkara lagi, penjawat awam termasuk imigresen khususnya di peringkat tertinggi juga perlu sedar bahawa mereka sebenarnya diperhatikan oleh masyarakat kerana memikul tanggungjawab dan amanah yang besar.


Kita juga harus menganggap rasuah sebagai jenayah luar biasa dan hukumannya tidak boleh setara dengan jenayah biasa. Mereka perlu dihukum semaksimum mungkin oleh pihak mahkamah. 


Perasuah tidak serik dengan penjara sehari sahaja dan mereka mampu membayar sebarang denda yang dikenakan. Faedah yang mereka perolehi hasil amalan rasuah adalah berbaloi dan berlipat ganda.


Impak jenayah rasuah adalah lebih teruk kerana setiap ringgit yang hilang itu adalah untuk kegunaan yang lebih penting seperti pembinaan sekolah, hospital dan sarapan percuma di sekolah. Berbeza dengan kesalahan membunuh kesannya hanya melibatkan pembunuh dengan mangsa dan keluarga sahaja.


Rasuah adalah ibu kepada segalanya kejahatan. Rasuah boleh menyebabkan sesesorang hilang pertimbangan dan terjeremus ke kancah aktiviti tidak bermoral. Janganlah jadikan kartel  budaya dan cara hidup di Malaysia!

 Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 3149