Berita Terkini

PERKESO Teguh Cegah Rasuah

KUALA LUMPUR, 26 Nov. - Ikrar Bebas Rasuah (IBR) adalah janji yang dibuat oleh kepimpinan organisasi bagi meningkatkan integriti, tadbir urus baik dan mencegah rasuah dalam organisasi. Individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, komitmen Lembaga Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui IBR adalah amat penting bagi menunjukkan pendirian pengurusan tertinggi organisasi berkaitan pencegahan rasuah.


"Saya berharap program IBR pada hari ini bukan bersifat ‘one-off’ atau kosmetik semata-mata. Tetapi, ia perlu disusuli dengan pelbagai tindakan oleh Pengurusan Tertinggi PERKESO dalam usaha meningkatkan integriti warganya.


"Bagaimanapun, ‘action at the top’ adalah lebih penting. Kepimpinan organisasi tidak hanya bercakap, tetapi mempamerkan teladan yang baik untuk diikuti oleh warga organisasi sebagaimana pepatah Inggeris, ‘action speaks louder than words’ ”,ujar beliau.


Tambahnya, amanah dan tugas yang diberi perlu dipikul dengan penuh integriti dan kita perlu bersama-sama untuk mendoakan agar usaha dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa dapat mengangkat nama negara sebagai negara contoh yang bebas rasuah.


Lafaz IBR ini diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Anuar dan disaksikan oleh Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam.


Turut hadir Ketua Eksekutif PERKESO, Dato Sri Dr Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed; Pengerusi Lembaga Pusat Rehabilitasi PERKESO Sdn. Bhd., Datuk Abu Huraira Abu Yazid; Pengerusi Jawatankuasa Governan, Etika, Audit dan Risiko Lembaga PERKESO, Wee Hock Kee serta Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Datuk Razim Mohd Noor.



Hit : 3149