Berita Terkini

Warga kerja Badan Sukan Kebangsaan zahir komitmen perangi rasuah bersama SPRM

Kuala Lumpur, 25 Nov.– Warga kerja Badan Sukan Kebangsaan telah menzahirkan komitmen dalam menyokong usaha memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa bersama SPRM dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di sini, hari ini.

Seramai 150 orang terdiri daripada Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan-persatuan Sukan Kebangsaan telah melafazkan IBR dan beriltizam untuk bekerja dengan jujur dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Lafaz ikrar ini diketuai oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Tuan Ibrahim Mohd Yusof dan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki bersama Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.

Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam berkata usaha ini melambangkan komitmen organisasi dalam menyokong inisiatif SPRM dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Penglibatan warga kerja dalam majlis ini jelas mencerminkan komitmen yang tinggi dalam menyokong usaha memerangi jenayah rasuah dalam kalangan ahli sukan”, ujar beliau.

Tambah beliau, SPRM sentiasa mengalu-alukan kerjasama semua pihak dalam menyebarluas program pendidikan rasuah di peringkat negeri dan daerah.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ti Lian Ker; Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Puan Ramona Mohd Razali dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Datuk Razim Mohd Noor.


Hit : 221