Berita Menarik

Kerana 'makan' rasuah RM20,700 didenda RM100,000

Ipoh : Bekas anggota polis marin berpangkat koperal dijatuhi hukuman denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan pilihan menerima suapan RM20,700 empat tahun lalu.

Hakim M Bakri Abd Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Zubairi Abdul Mutalib, 60, yang mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan pilihan itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian berkhidmat sebagai Ketua Jentera Ronda PSC 16 di Pengkalan Polis Marin, Kg. Acheh, Sitiawan, memperoleh untuk diri sendiri rasuah RM20,7000 daripada Tan Kuang Hooi, 50.

Wang itu adalah sebagai dorong untuk tidak mengambil tindakan terhadap bot bernombor pendaftaran vessel PKFA 9710 yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 2 Mac 2017 hingga 29 September 2017 dalam kawasan Pusat Bandar Sri Manjung Seksyen 2, Sri Manjung di daerah Manjung. Pertuduhan pilihan yang dibuat ke atas tertuduh adalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, bagi setiap dari pertuduhan itu.

Terdahulu, pertuduhan turut dibacakan ke atas tertuduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi dakwaan memperoleh melalui pindahan wang daripada akaun simpanan Maybank di Sabak Bernam, Selangor daripada Tan untuk diri sendiri.

Kesalahan bagi Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam, Shahrullah Khan.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara keseluruhan selama 57 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan pilihan pertama sehingga kelima tertuduh mengaku bersalah, Hakim menjatuhi hukuman masing-masing denda RM16,000 atau penjara sembilan bulan jika gagal membayar denda, manakala bagi pertuduhan pilihan keenam dan ketujuh tertuduh mengaku bersalah, Hakim menetapkan denda masing-masing RM10,000, atau penjara enam bulan jika denda gagal dibayar.

Selain itu, mahkamah memerintahkan wang simpanan tertuduh berjumlah RM18,494.75 termasuk faedah sehingga 25 November 2021 di dalam nombor akuan Maybank Islamic Berhad bernombor 158293519665, dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

Sementara bagi pertuduhan lain yang turut pernah dikemukakan untuk kes ini, ia dipertimbangkan untuk diputuskan sebagai Take Into Consideration (TIC) oleh pihak mahkamah mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Pada 27 Januari lalu, Zubairi didakwa atas 144 pertuduhan membabitkan penerimaan suapan dengan jumlah keseluruhan RM389,390 antara Mei 2016 hingga Julai 2019.

Sumber : Harian Metro


Hit : 2821