Berita Terkini

SPRM Sambut Baik Komitmen MOT Perangi Rasuah

Kuala Lumpur, 24 Nov. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang menerbitkan Buku Polisi-Polisi Sistem Pengurusan Antirasuah & Kod Etika dan Tatakelakuan MOT bagi membuktikan komitmen dalam menolak jenayah rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki berkata, penerbitan buku tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) MOT dan amat signifikan dalam mendokong aspirasi toleransi sifar terhadap rasuah.

"Sebanyak 67 inisiatif yang digariskan di bawah OACP MOT, merangkumi empat Bidang Keutamaan iaitu perolehan, penguatkuasaan undang-undang, pengurusan dan pentadbiran kewangan serta tadbir urus.

"Inisiatif-inisiatif ini dapat meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan kerajaan berteraskan prinsip tadbir urus dalam memastikan negara berjaya keluar daripada kepompong kancah rasuah yang boleh merosakkan negara," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buku Polisi-Polisi Sistem Pengurusan Antirasuah & Kod Etika dan Tatakelakuan MOT di Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelancaran ini menunjukkan komitmen seluruh warga MOT, jabatan serta agensi di bawah MOT dalam menangani permasalahan dan sebarang kelemahan dalam aspek tadbir urus, integriti termasuk salah laku rasuah.

Katanya, SPRM akan terus menyokong usaha MOT dalam memastikan enam fungsi teras penubuhan Unit Integriti di kementerian, iaitu tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan aduan, pematuhan serta tatatertib dapat dilaksana dengan sempurna, sebagaimana yang diterapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong.

Turut hadir Timbalan Menteri MOT, Dato' Henry Sum Agong; Ketua Setiausaha MOT, Datuk Isham Ishak; Ketua Pegawai Korporat KTMB mewakili Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohamed Suhaimi Yaacob; Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM yang merupakan mantan Ketua Unit Integriti MOT, Dato’ Tan Kang Sai; Ketua Unit Integriti MOT yang baharu, KPKPj Ramli Ismail dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, PKPj Kamaruddin M. Ripin.

Hit : 2359