Berita Terkini

SPRM - MRT Corp Kerjasama Sebar Luas Mesej Pencegahan Rasuah

Putrajaya, 22 Nov - Perang melawan jenayah rasuah tidak akan berjaya tanpa melengkapkan tiga strategi iaitu penguatkuasaan pencegahan dan pendidikan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki berkata, melalui strategi pencegahan, SPRM menawarkan khidmat nasihat bagi mengukuhkan sistem dan prosedur, mengkaji risiko rasuah melalui Corruption Risk Management (CRM) serta pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP).

Katanya, strategi pendidikan pula lebih unik kerana dilaksanakan secara menyeluruh, konsisten dan menggunakan pelbagai pendekatan.

"Oleh sebab itu, sekiranya mana-mana syarikat atau agensi memerlukan khidmat nasihat atau ingin melaksanakan program kesedaran, pintu pejabat SPRM sentiasa terbuka untuk membantu.

"Usaha meningkatkan integriti dan pencegahan rasuah adalah usaha yang mulia. Tanggungjawab ini kita pikul secara bersama. Kita mahu negara Malaysia terkenal dengan integriti dan bukan kerana rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Pencegahan Rasuah di Pengangkutan Awam usahasama SPRM dan MRT Corp di Stesen MRT Muzium Negara hari ini.

Dalam kempen ini, poster-poster pencegahan rasuah akan dipamerkan dalam bentuk cetakan serta digital di dalam tren dan stesen MRT. Kempen ini dijangka mampu menarik minat 14.5 juta pengguna perkhidmatan MRT sekali gus sebagai pendekatan berkesan menyebar mesej antirasuah kepada masyarakat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim; Pengurus Besar Kanan SIRIM QAS International Sdn Bhd, Mohd Hamim Imam Mustain; Ketua Pegawai Integriti MRT Corp, Dato' Zainal Adam dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, PKPj Kamaruddin M. Ripin.


Hit : 137