Berita Terkini

Integriti Pemangkin Kecemerlangan Organisasi

SHAH ALAM, 22 Nov - Tanggungjawab dan kebertanggungjawaban dalam memastikan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) ini berjaya adalah terletak kepada kumpulan pelaksana yang telah ditetapkan serta kepada pengurusan tertinggi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) ialah suatu dokumen dasar antirasuah di peringkat organisasi yang bertujuan untuk menangani permasalahan dan kelemahan berkaitan rasuah, tadbir urus dan integriti dalam sesuatu organisasi.

"Saya ingin menyatakan bahawa kejayaan OACP banyak bergantung kepada aspek kapasiti dan keupayaan pegawai-pegawai pelaksananya kelak. Sistem dan prosedurnya perlu diuji dan diperhalusi; penilaian risiko perlu dikira semula; dasar, prosedur dan kawalan dalaman juga perlu berkembang.

"Melabur dalam tadbir urus adalah mahal dan memerlukan masa serta perancangan yang strategik, nescaya pulangan pelaburan ke atasnya juga lumayan. Oleh itu, peruntukan bajet yang mencukupi bagi menguruskan penambahbaikan terhadap proses kerja berkaitan pengawalan antirasuah dan tadbir urus perlu diberi perhatian yang sewajarnya,” katanya.

Tambah beliau, SPRM mengalu-alukan kerjasama semua pihak terutama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dalam melaksanakan program-program pencegahan serta pendidikan antirasuah dan semoga kerjasama ini dapat dipertingkatkan pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Pelancaran OACP dan Forum Integriti SPRM bersama Kerajaan Negeri Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, SUK Negeri Selangor hari ini yang dianjurkan oleh Persatuan Bekas Pegawai SPRM dengan kerjasama Pejabat SUK Negeri Selangor dengan kehadiran 120 orang peserta.

Turut hadir SUK Negeri Selangor, YB Dato’ Hj. Haris Kasim, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ; Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor, Dato’ Mohammad Adib Husain; Pengarah SPRM Negeri Selangor, Dato’ Alias Salim dan Presiden Bekas Pegawai SPRM, Dato' Mazlan Mohamad.


Hit : 1780