Berita Terkini

SPRM, ICAC Baharui MoU Tahun Depan

Putrajaya, 17 Nov. – Selaras usaha memerangi rasuah dalam jangka masa panjang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Independent Commission Against Corruption (ICAC) Hong Kong akan memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) agar kerjasama yang sedia terjalin dapat diteruskan serta diperkukuhkan.

MoU yang sebelum ini dimeterai pada 2010 akan ditandatangani pada tahun hadapan bagi membolehkan latihan secara perkongsian dapat dijalankan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki berkata, kerjasama secara berterusan antara kedua-dua pihak ini amat diperlukan khususnya dari segi perkongsian maklumat dan pendapat dalam mencari 'mekanisme' memerangi aktiviti rasuah.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan secara maya dengan ICAC yang diketuai oleh Commissioner of the ICAC Hong Kong, Mr Simon Peh.

Dalam pertemuan kira-kira setengah jam itu, kedua-dua pihak telah berkongsi pengalaman serta pandangan dari aspek memerangi jenayah rasuah.

Turut dibincangkan dalam pertemuan itu adalah kekangan yang dihadapi ketika memerangi rasuah dalam tempoh pandemik selain isu-isu semasa berkaitan rasuah.

Dalam kesempatan itu juga, ICAC turut memuji kejayaan SPRM menganjurkan The 2nd International Joint Training Programme with the International Association of Anti Corruption Authorities (IAACA) yang berlangsung selama dua hari secara maya pada 30 Jun lalu.

SPRM juga menzahirkan penghargaan kepada ICAC atas khidmat nasihat diberikan dalam persediaan penganjuran program latihan berkenaan yang berjaya menarik penyertaan seramai 287 peserta dari 29 buah negara dan 38 buah organisasi.

Bagi membolehkan kerjasama sedia terjalin ini dapat diperkukuhkan, kedua-dua agensi turut menjemput ketua jabatan masing-masing untuk mengadakan lawatan secara bersemuka sebaik keadaan telah pulih daripada pandemik Covid-19.

Turut hadir pada sesi pertemuan secara maya itu adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Dato' Idris Zaharudin dan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, TPj Mohd Hafaz Nazar.



Hit : 2061