Berita Terkini

Atasi Salah Laku Rasuah Dan Penipuan: Pengurusan Atasan Main Peranan Penting Tingkat Ketelusan Dan Integriti Organisasi

Putrajaya,15 Nov. - Pengurusan atasan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran, ketelusan dan integriti dalam sesebuah organisasi bagi memastikan kegiatan rasuah dan penipuan dapat diatasi secara menyeluruh.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato' Sri Azam Baki berkata, semua pihak perlu berusaha dalam meningkatkan kepercayaan dan ketelusan dalam sesebuah organisasi supaya Malaysia boleh mencapai aspirasi sebagai sebuah negara bebas rasuah.

“Setiap organisasi perlu mewujudkan kawal selia yang kukuh seperti tadbir urus korporat, prosedur pemberi maklumat dan liabiliti korporat dalam organisasi masing-masing.

“Selain itu, 'whistleblowing' juga berfungsi sebagai mekanisme kawalan dalaman untuk mengesan dan menghapuskan setiap amalan rasuah atau sebarang salah laku yang menjejaskan organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Penipuan (FAW) Kenanga Investment Bank Berhad (KIBB) Ke-5 2021 yang berlangsung secara maya di sini, hari ini.

Kempen kesedaran yang berlangsung selama sebulan bermula 15 November 2021 ini telah berjaya meningkatkan kesedaran para peserta dan penggiat industri selain meraih sokongan mereka untuk sama-sama memerangi jenayah rasuah dan penipuan.

Bertemakan 'Memperteguh Nilai Etika Menerusi Kedinamikan Pengawalseliaan", lebih daripada 290 wakil daripada SPRM, Bursa Malaysia Berhad, Suruhanjaya SekuritiMalaysia, Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Kenanga telah menyertai kempen tersebut.

Tambah Tan Sri Dato' Sri Azam, SPRM sentiasa mengalu-alukan orang ramai supaya tampil untuk melaporkan salah laku rasuah dan penipuan kepada SPRM supaya tindakan lanjut dapat diambil untuk mengatasi isu berkenaan.

Turut hadir adalah Pengasas dan Penasihat Kumpulan Kenanga, Tan Sri Dato’ Paduka Tengku Noor Zakiah Tengku Ismail; Pengerusi Kenanga Investment Bank Berhad, TanSri Dato' Seri Syed Zainol Anwar Ibni Syed Putra Jamalullail dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia, Dato’ Seri Akhbar Satar.


Hit : 1350